rap

Wan Raja susut 10kg akibat Gerd

Oleh Ramlah Zainal

Shah Alam: Pelakon, Wan Raja mendedahkan berat badannya turun sebanyak 10 kilogram (kg) bukan sebab diet sebaliknya akibat masalah gastrik kronik atau refluks gastroesofagus (Gerd) yang dihidapinya.

Menurut Wan Raja atau nama sebenar Saiful Redzuan Abu Bakar, 44, dia mendapat penyakit gastrik kronik itu sejak fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

"Saya kurus kerana masalah GERD ini kerana tidak boleh makan sebarangan kerana jika tersalah makan ia membawa kesan yang teruk. Contohnya, saya tidak boleh makan 'coleslaw' KFC yang juga makanan kegemaran sejak dulu.

"Bila kurang makan, badan saya juga turun dari 80 kilogram kepada 70 kilogram sekarang," katanya kepada Harian Metro.

Wan Raja ditemui di lokasi penggambaran filem Gold arahan Adrian Teh yang berlangsung di Stadium Malawati, baru-baru ini.

Mengulas penyakit Gerd itu lagi, kata Wan Raja, dia juga pernah mendapat serangan 'anxiety' yang teruk hingga tidak boleh tidur, dada mencucuk dan nafasnya menjadi pendek.

"Saya juga mengelakkan memandu dalam jarak jauh atau 'out station' kerana bimbang dengan penyakit dihidapi.

"Malah, saya juga terpaksa meminta seorang kawan menemani ketika menjalani penggambaran telefilem di luar Kuala Lumpur pada tahun lalu," katanya.

Sementara itu, mengenai filem Gold pula, Wan Raja berkata, dia diberikan kepercayaan melakonkan watak legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek dalam filem itu.

"Saya tidak berfikir dua kali untuk berlakon dalam filem ini kerana memang meminati filem genre sukan dan mahu bekerja dengan pengarah terkenal, Adrian Teh.

"Saya juga buat kajian untuk menjiwai watak Misbun yang juga idola dengan bertanya mengenai karakter beliau menerusi ahli keluarga dan mereka yang rapat dengannya iaitu Penerbit filem Raja Azmi dan Roslin Tahir," katanya.

Filem genre sukan, drama dan patriotik, Gold terbitan Astro Shaw dan Art 2 Pictures ini menampilkan barisan pelakon seperti Jack Tan, Farid Kamil, Wan Raja, Freddie Ng, Lynn Lim.

Filem ini menceritakan kisah benar pemain badminton, Cheah Liek Hou yang menghidap 'brachial plexus paralysis' (kebas saraf brakial) tetapi berjaya mencipta sejarah memenangi pingat emas dalam Sukan Paralimpik.

Disiarkan pada: March 30, 2023 @ 12:40pm
d