rap

Bunga Isme dilamar keluarga Amzar

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi Bunga Isme, 23, sudah dirisik keluarga kekasihnya yang juga penyanyi Amzar Sabri, 27, pada Februari lalu selepas empat tahun bercinta.

Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari bagaimanapun menafikan mereka bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

"Status kami baru lepas fasa merisik, Februari lalu. Alhamdulillah, kami sudah berkenalan empat tahun dan dia orang industri.

"Perancangan mendirikan rumah tangga ada tetapi bukan dalam masa terdekat. Sejujurnya, saya belum bersedia bergelar isteri," katanya.

Penyanyi lagu Intan Payung itu berkata dia dan Amzar sepakat ingin sama-sama fokus kepada kerjaya seni terlebih dulu.

Baginya masih terlalu awal untuk melangkah ke fasa berkahwin.

"Fokus kami sekarang adalah utamakan diri sendiri dan keluarga dulu kerana masih banyak perancangan besar di hadapan. Pasal kahwin, masih nombor dua.

"Tak fikir nak terburu-buru kerana berkahwin pun perlu fikir kemampuan juga. Usia perkenalan kami selama empat tahun pun masih baharu," katanya.

Bunga ditemui pada majlis pelancaran single dan video muzik single berjudul Raya Last Minit dendangan Andi Bernadee dan Ryan Bakery di sini, semalam.

Disiarkan pada: March 31, 2023 @ 12:19pm
d