rap

Shila Amzah belum sedia nak komen

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Penyanyi, Shila Amzah belum bersedia membuka mulut untuk mengulas isu hangat membabitkan 'penyondol' atau pengganggu rumahtangga seperti hantaran ibunya, Fauziah Sarman di Instagram, hari ini.

Pengurus peribadinya, Aini Shuhaida berkata, penyanyi itu memohon maaf sambil meminta sedikit masa untuk mengeluarkan sebarang kenyataan. 

"Saya baru menghubungi Shila dan bertanya keadaannya. Bulan puasa ini dia banyak berehat. Saya pun jarang jumpa dia, manakala Shila pun jarang keluar ke acara-acara yang berlangsung sepanjang Ramadan.

"Apapun bagi kami rujuk kepada pengurusan terlebih dulu sebelum keluarkan kenyataan kepada semua pihak," katanya menerusi mesej WhatsApp. 

Terdahulu, Fauziah menerusi hantaran di Instagram memuat naik gambar seorang wanita bersama keterangan gambar yang menimbulkan persoalan ramai.

"Penyondol...Siti Munirah Abdul Ghani ndlalaofficial," tulisnya.

Hantaran itu secara tidak langsung mencetuskan spekulasi sama ada wanita terbabit adalah madu kepada Fauziah. 

Fauziah bagaimanapun tidak memberi sebarang maklum balas terhadap komen pengikutnya.

Difahamkan, Siti Munirah bukanlah asing kepada keluarga Fauziah dan suaminya, ND Lala kerana dia adalah rakan sekolah Shila.

Mereka sama-sama pernah belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Setapak Indah, di sini, dan Siti Munirah sering berkunjung ke rumah mereka untuk majlis-majlis tertentu terutama keluarga.  

Malah, Shila pernah memuatnaik hantaran di Instagramnya yang sedang mencari Siti Munirah. 

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi ND Lala untuk mendapatkan penjelasan berkenaan perkara ini sebelum ini tidak berjaya apabila dia tidak memberi sebarang balasan.

Disiarkan pada: April 2, 2023 @ 12:59am
d