rap

Pilihan hebat 50 program

Oleh Najiy Jefri

Saluran stesen televisyen Awesome TV kembali mengangkat tema istimewa penuh bermakna, Ikhlaskan Jiwa, Dekat Dengan-Nya bagi melatari kempen Ramadan tahun ini.

Apa yang menarik, Awesome TV tampil membawakan pelbagai pengisian komprehensif sepanjang bulan mulia ini menerusi himpunan 50 program menarik khas buat penonton.

Bermula dengan minggu pertama Ramadan, penonton dihidangkan dengan seleksi kandungan hebat merangkumi genre kerohanian, program khidmat masyarakat, telefilem, drama bersiri, koleksi filem menarik tempatan dan antarabangsa, naskhah 'throwback' (imbas kembali) klasik malar segar, sketsa, sitkom, variasi, bual bicara serta banyak lagi yang boleh ditonton menerusi platform Awesome TV di saluran Astro 123 dan MyTV 112.

Mengulas lanjut mengenai pengisian kempen ini, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli selaku Pengarah Unit Kandungan Awesome TV berkata, memasuki tahun ketiga Awesome TV memperkenalkan program terbaik sempena Ramadan, pihaknya berasa amat teruja dengan pengisian menarik yang dibawakan kepada penonton.

"Persiapan rapi dibuat bagi menyemarakkan lagi pengisian kempen 'Ikhlaskan Jiwa, Dekat DenganNya' dengan menghimpunkan variasi program istimewa daripada pelbagai genre berbeza demi memenuhi cita rasa semasa penonton.

"Selain mempersembahkan program hiburan berkualiti tinggi, kami tidak ketinggalan untuk menyiarkan program mempunyai pengisian nilai kerohanian serta suntikan elemen pengajaran dan pendidikan dalam program yang disiarkan," katanya.

Menurut Ezzan, sebagai stesen televisyen, pihaknya sedar peranan memikul tanggungjawab besar dalam mendidik masyarakat menerusi program yang mampu memupuk nilai murni dan positif.

"Membawa amanat yang sama, kami teruskan tradisi tahunan menerusi kolaborasi amal bersama pihak 'KAPB' bagi menjayakan inisiatif penerbitan program CSR 'Ihsan Kita' untuk mendekati audiens kami menerusi aktiviti kemasyarakatan di bulan penuh barakah ini.

"Semoga rakyat Malaysia bakal terhibur dengan pelbagai kandungan hebat tanpa henti yang dibawakan khas sepanjang Ramadan oleh Awesome TV," katanya.

Antara program menarik yang dibawakan Awesome TV sempena bulan puasa ini adalah rangkaian drama hebat seperti Jodoh Duda I yang menampilkan Azrel Ismail, Elisha Sandha dan Syazwan Zulkifly menerusi slot Rom Com setiap Isnin hingga Rabu jam 9.30 malam bermula 27 Mac lalu.

Selain itu, drama Kiblat Yang Hilang pula akan menampilkan barisan pelakon handalan seperti Laila Nasir, Azhan Rani, Zul Huzaimy, Sweet Qismina, Kartina Aziz, Wafariena, Zain Hamid, Trisha Oii, Badrul Muhayat dan Riz Amin bakal mengisi slot Dramatix setiap Isnin hingga Ahad jam 8.30 malam.

Awesome TV juga tidak ketinggalan membariskan program berunsur kerohanian seperti 'Chit Chat Ustaz S3', program bual bicara mengenai kisah 25 Rasul iaitu Kekasih Awal Dan Akhir' yang dikemudikan oleh PU Amin setiap Isnin hingga Ahad jam 7 malam bermula 27 Mac lalu.

Dalam pada itu, program Relax! Jangan Gaduh yang dihoskan oleh pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Alyahya pula bakal membincangkan mengenai hal agama dan isu semasa yang berlaku dalam kehidupan seharian yang dibincangkan secara debat bersama ahli panel.

Program 12 episod ini akan ditayangkan pada setiap Jumaat hingga Ahad jam 7.30malam bermula Jumaat lalu. Antara nama popular yang turut diundang khas termasuk Jihan Muse & Ungku Hariz, Pekin Ibrahim & Mona Allen, Aziz M Osman & Puteri Lily Lokman, Ezzaty Abdullah & Azwan Kombos, Zamarul Hisham & Diana Rafar, Syed Aiman & Linda Rafar, Aliff Aziz & Bella Astillah, Beego & Linda Hashim, Atu Zero & Ika, Adam Lee & Sweet Qismina, Aepul & Leez Rosli, Fauzi Nawawi & Lisdawati.

Tidak ketinggalan, koleksi filem menarik juga membariskan naskhah menarik seperti Perempuan Melayu Terakhir, Show Me Your Love, Pua Chu Kang The Movie, Men On TheDragon menerusi slot Monday Movie akan bersiaran setiap Isnin, jam 10 malam.

Lebih menarik, slot Hiburan bakal membariskan program menarik berbentuk infotainmen dalam pelbagai genre seperti program masakan, food hunting, travelogue dan bual bicara.

Disiarkan pada: April 2, 2023 @ 6:45am
d