rap

'Aurora trauma pasal insiden petik cili?' - Farid Kamil

Oleh Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: "Saya rasa terhina sangat apabila diperlakukan seperti ini. Apa salah saya? Saya curang dengan perempuan lain ke? Saya buat apa? Apa dosa besar yang saya buat? Tolong jelaskan."

Itu luahan hati pelakon dan pengarah, Farid Kamil, 42, mengenai konflik rumah tangganya dengan Diana Danielle, 32, ketika ini. 

Farid turut meminta Diana agar tidak memperbesarkan isu seperti 'petik cili' ke mahkamah yang akan mengambil masa lama dan wang yang sangat banyak.

"Kita bukan orang senang. Mengapalah benda yang kecil-kecil ini nak diperbesarkan tanpa sebab yang munasabah. Cukup-cukuplah kesengsaraan yang saya alami dari 2017 itu. Cukup-cukuplah benda itu.

"Tahun 2023 ini adalah masa kita get back in track (rapat semula). Takkan nak ambil kecelakaan yang berlaku pada saya 2017 itu dibawa sampai sekarang. Takkan nak menyusahkan family (keluarga) lagi," katanya dalam temubual bersama Melodi TV3, hari ini. 

Farid juga menjelaskan insiden di sebalik 'petik cili' yang dinyatakan dalam surat peguam Diana memaklumkan anaknya, Nur Aurora, 8, belum bersedia untuk berjumpa kerana masih trauma dengan kejadian itu.

"Kalau Aurora trauma pasal 'petik cili' ini, Diana kena terangkan betul-betul pada semua orang, pada saya. Kalau saya nak cerita mengenai insiden 'petik cili' ini, ia lebih kepada mengaibkan.

"Apa yang berlaku, Aurora masuk ke rumah jiran dan petik pokok cili. Saya nampak, sebagai bapa saya cakap pada dia, Aurora awak buat kerja salah, masuk rumah orang, ambil barang orang 'consider mencuri. Babah ajar ke, ibu ajar ke, siapa ajar dia buat macam itu. Dia kata tiada siapa yang ajar.

"Saya suruh kawan dia balik dan denda Aurora. Saya kata Aurora nak kena rotan ke atau stand (berdiri) di dinding untuk denda. Jadi, dia pilih untuk pergi ke dinding. Sedang dia jalani denda itu, Diana sampai dan dia tak puas hati dengan apa yang saya buat pada Aurora," katanya.

Farid berkata, sebagai ketua keluarga dia cuba terapkan cara didikan pada era 1990-an yang pernah dilakukan keluarganya pada anak-anak, namun tidak mendapat persetujuan Diana yang tidak mengetahui kejadian sebenar.

Walaupun kecewa tidak dapat bertemu kedua-dua anaknya, namun Farid gembira dan bersyukur dibenarkan berjumpa dengan anak sulung, Muhammad, 10. 

Katanya, sudah sebulan nombor telefon dan media sosialnya disekat daripada berhubung dengan anak-anak.

Farid berkata kunjungan dia ke kediaman kelamin mereka mengikut kebenaran mahkamah. Selain mahu bertemu dengan anak-anak, dia juga ingin mengambil barangan peribadinya yang ada di rumah itu.

Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

 Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada 28 Mac lalu.

Terdahulu, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad,  dan Aurora.

Disiarkan pada: April 2, 2023 @ 5:00pm
d