rap

Shuhada dakwa ada saksi nampak Hafidz bersama Athira

Oleh Zaara Talita

 

Kuala Lumpur : Isteri pelakon Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri mengakui menerima mesej di ruangan peribadi yang memaklumkan terlihat kelibat suaminya bersama wanita yang didakwa menjadi punca keretakan rumah tangganya bersama Hafidz iaitu Athira Yuhada.

Shuhada berkata, dia dan peguamnya turut menyiasat perkongsian yang diberikan kepadanya menerusi ruangan mesej peribadi itu bagi menyokong tindakan undang-undang yang bakal diambil terhadap mereka.

"Maaf saya tidak boleh bercakap banyak mengenai isu ini. Cuma tidak dinafikan saya ada menerima beberapa mesej di Instagram bahawa terlihat kelibat mereka di bazar Ramadan yang membuktikan mereka masih berhubung.

Sebelum ini, Shuhada juga mengesahkan bahawa ada menerima tuntutan fitnah melalui surat peguam Athira.

"Selain dari peguam saya telah membalas kepada surat tersebut. Kami juga akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap mereka," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Shuhada menerusi hantaran terbaharu di Instagram memaklumkan, Athira memfailkan satu tuntutan saman terhadapnya susulan kenyataan yang dimuat naik pada 15 Februari lalu.

Menurut Shuhada, saman yang diterima daripada wanita itu ibarat ujian yang bertubi-tubi menimpanya.

Sebelum ini, Athira tampil memohon maaf secara terbuka terhadap Nurul Shuhada dan dua anaknya selepas didakwa menjadi punca pergolakan rumah tangga pasangan itu.

Identiti Athira terbongkar menerusi satu hantaran di Instagram yang memaparkan tangkap layar berbalas mesej mesra bersama Hafidz di WhatsApp.

Ia sekali gus menguatkan dakwaan rumah tangga dibina Hafidz bersama Nurul Shuhada selama tujuh tahun kini bergolak selepas menerima kehadiran orang ketiga.

Hafidz yang juga bekas peserta program realiti, Hero Remaja 2011/2012 mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 6; dan Umar, 3.

Disiarkan pada: April 5, 2023 @ 10:05pm
d