rap

Filem Pulau 2 dijangka mulakan penggambaran tahun depan

Oleh Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Filem kontroversi Pulau bakal diterbitkan dalam bentuk sekuel oleh syarikat penerbitan WebTVAsia tahun depan.

Penerbit filem itu, Fred Chong berkata, pihaknya sudah bersedia untuk menghasilkan sekuel filem Pulau, walaupun ia pernah mendapat bantahan dari sebahagian pengkritik dan penonton tempatan.

"Kontroversi yang melanda filem Pulau sebelum ini tidak pernah mematahkan semangat saya untuk menerbitkan sekuel filem ini.

"Buat masa ini, pihak kami dalam proses merancang dari pelbagai aspek termasuk barisan pelakon yang akan terbabit dalam filem Pulau 2 yang dijangka memulakan penggambaran pada tahun depan," katanya kepada Harian Metro.

Fred ditemui ketika majlis berbuka puasa bersama syarikat penerbitan WebTVAsia di sini.

Mengulas mengenai filem Pulau 2, kata Fred, ia akan menyaksikan kolaborasi antara produksi Malaysia dan Indonesia.

"Barisan pelakon yang dipilih juga berbeza dan membabitkan dua negara.

"Sudah ada beberapa pelakon termasuk dari Indonesia yang disenarai pendek tetapi belum diputuskan lagi," katanya.

Ditanya mengenai jalan ceritanya pula, kata Fred, filem Pulau 2 bukan kesinambungan dari naskhah asal sebaliknya ia sebuah karya lebih segar.

"Apa yang boleh saya katakan, filem Pulau 2 akan mengekalkan elemen kepelbagaian kaum di Malaysia.

"Saya tidak boleh beritahu secara terperinci mengenai filem Pulau 2 kerana ia projek untuk tahun depan.

"Pihak kami juga ada beberapa projek filem baru yang perlu diberi tumpuan pada tahun ini," katanya.

Terdahulu, filem genre 'supernatural thriller' dan mistik Pulau lakonan Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Joey Leong, Sanjna Suri, Pui Yi dan ramai lagi itu terpalit kontroversi selepas treler yang ditayangkan di YouTube, memaparkan adegan panas yang tidak selari dengan budaya Malaysia.

Bagaimanapun, pihak Lembaga Penapis Filem (LPF) mengklasifikasikan filem Pulau sebagai naskhah seram, bukannya karya tidak senonoh seperti diperkatakan ramai pihak.

Disiarkan pada: April 7, 2023 @ 8:00am
d