rap

'Mana ada bersekedudukan' - Ubai

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur : Kekasih Shila Amzah, Ubai, 25, menolak dakwaan mereka bersekedudukan selepas ditanya segelintir pengikut ketika membuat siaran langsung bersama di TikTok.

Ubai yang juga pempengaruh media sosial berkata, Shila yang juga ibu tunggal tinggal bersendirian.

"Sha (panggilan untuk Shila) duduk seorang diri. Cuma, kadang-kadang saya ajak kawan-kawan untuk berbuka puasa atau moreh di rumahnya. Nak cakap duduk serumah tu jauh sekali. Apatah lagi, mak saya pun kurang sihat, jadi fokus diberikan buat mak saya.

"Boleh dikatakan setiap kali 'live' TikTok pasti ada yang mengajukan sama ada kami tinggal serumah. Kami pun dah lali sering kali soalan yang sama saja. Namun kebanyakannya adalah akaun palsu.

"Bila Sha 'live' seorang pasti orang tanya Ubai mana? Apabila buat bersama orang tanya pula duduk serumah ke? Sha sudah profesional kerana sudah lama berdepan isu sebegini, cuma saya masih baru lagi," katanya.

Sementara itu, Ubai atau nama sebenarnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli berkata, hubungan dia dengan Shila makin serius dan dia memohon doa yang baik-baik daripada pengikut.

"Insya-Allah hubungan saya dengan Sha serius. Mungkin ada sinar kebaikan pada bulan Ramadan ini. Doa saja yang baik-baik," katanya apabila diajukan sama ada dia dan Shila bakal membawa hubungan mereka ke fasa seterusnya Ogos nanti.

Lebih menguatkan khabar angin itu, Shila turut memuat naik video mencari cincin bersama Ubai yang dimuat naik semalam.

Ditanya sama ada mereka bakal mendirikan rumah tangga, Ubai bergurau dan mengelak daripada menjawab soalan itu.

"Bukan saja nasi minyak, memandangkan kita sudah dekat raya, kita baulah ketupat, rendang dan lemang," katanya.

Februari lalu, Ubai mengesahkan sedang menjalin hubungan istimewa dengan Shila sejak tahun lalu.

Mereka mula berkawan rapat selepas Shila melalui fasa sukar dalam kehidupannya.

Pada 8 Februari tahun lalu, Shila bercerai talak satu dengan Haris Idraki selepas empat tahun berkahwin. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Seth Uwais.

Disiarkan pada: April 8, 2023 @ 1:48pm
d