rap

'Saya tak campur, itu bukan masalah saya' - Rosyam Nor

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Sungai Buloh: Pelakon dan penerbit, Datuk Rosyam Nor, 56, tidak mahu masuk campur terhadap masalah yang berlaku dalam produksi filem The Original Gangster terutama mengenai konflik pengarahnya, Syamsul Yusof dengan pelakon, Datuk Aaron Aziz yang digugurkan.

Rosyam yang juga pelakon filem itu berkata, sebagai pelakon yang dibayar, dia hanya berfikir datang ke lokasi bagi menunaikan tanggungjawab untuk berlakon.

"Saya tak mahu mengeruhkan lagi keadaan dengan mencampuri pertikaian membabitkan Syamsul dengan Aaron. Saya juga tidak berminat untuk ambil peduli mengenai isu. Ada baiknya saya teruskan penggambaran seperti diminta pihak produksi.

"Ketika bekerja saya tidak ambil tahu hal orang lain. Bila sampai dekat set penggambaran saya akan berlakon, jadi apa yang terjadi atau ada dengar-dengar mengenai perkara lain saya tidak peduli," katanya ditemui pada pelancaran kempen Ramadan TV9, Janji Berbaloi 149 di ST Rosyam Mart, di sini, hari ini.

Rosyam berkata, sesiapa yang ada di set penggambaran, itulah pasangan yang akan dia berlakon bersamanya.

"Saya tidak mahu campur-adukkan kerja saya dengan masalah-masalah produksi. Konflik yang berlaku itu adalah masalah produksi dan bukannya masalah saya," katanya.

Menurutnya, apa yang berlaku adalah perkara di luar jangkaan, namun tidak sesekali mengganggu proses penggambaran.

"Kenapa perlu sampai terganggu pula? Dalam hidup ini bukan semua yang kita mahukan boleh dapat. Ada perkara yang kita rancang tidak sempurna.

"Kalau tidak sempurna, kita mohon pada Allah dan habiskan saja kerja kita. Sebagai contoh, kalau bercinta tidak semestinya akan berakhir dengan perkahwinan. Kalau berkahwin sekalipun tidak semestinya akan kekal," katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2023 @ 4:12pm
d