rap

Puteri Sarah nekad bawa haluan sendiri [METROTV]

Oleh Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Pengarah Syamsul Yusof, 39, dan pelakon Puteri Sarah Liyana, 38, hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, di sini, pagi ini untuk keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) berhubung kes permohonan cerai yang dibuat pada 21 Mac lalu.

Syamsul memakai baju-T dan blazer berwarna biru gelap tiba jam 8.55 pagi dengan diiringi peguamnya, Azmi Mohd Rais.

"Jumpa sekejap lagi," katanya apabila disapa pihak media.

Sementara itu, Puteri Sarah yang berpakaian putih tiba beberapa minit kemudian sambil ditemani adiknya Puteri Sofea Nadira dan berharap semuanya dipermudahkan hari ini serta dapat diselesaikan.

"Doakan yang baik-baik. Semoga semuanya selesai. Kami boleh mengikut haluan masing-masing," katanya.

Kira-kira 30 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal jam 8 pagi untuk membuat liputan kes pasangan selebriti itu.

Terdahulu, Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah pada 21 Mac lalu dengan alasan isterinya itu masih menghubungi bekas kekasihnya yang berstatus suami orang.

Selain itu, antara alasan yang dikemukakan Syamsul atas tuntutan nusyuz itu termasuk meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, enggan mematuhi notis nusyuz dan memfitnahnya memukul serta tidak memberi nafkah.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 serta dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4 tahun.

 

Disiarkan pada: April 10, 2023 @ 9:35am
d