rap

Hun Haqeem pernah alami masalah mental

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Di sebalik perwatakan cerianya, pelakon Hun Haqeem, 25, rupanya pernah mengalami masalah kesihatan mental dan mendapat rawatan pakar psikiatri, lebih setahun lalu.

Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy berkata, walaupun ia hanya minor, tapi pengalaman itu benar-benar memberi tamparan hebat buatnya mengenai kepentingan mendapatkan bantuan.

"Ya saya pernah melalui fasa itu sebelum ini. Alhamdulillah berkat bantuan ramai, saya berjaya atasinya. Ada banyak isu kerana tahun 2021 dan 2022 sangat-sangat mencabar.

"Ada juga saya cuba 10 sesi tapi ia sekadar sesi dibuat sendirian dengan individu terbabit. Alhamdulillah semuanya sangat-sangat terkawal. Saya punya (masalah) cuma minor saja tapi itu pun sudah terasa.

"Ia situasi periksa diri yang baik untuk saya. Juga menyedarkan saya bahawa bila berada dalam keadaan itu, kita kena minta tolonglah. Untuk saya, ambil masa setahun juga pulihkan diri semula," katanya.

Pelakon drama Nenek Bangkok Tiga itu mendedahkan, masalah terbabit timbul disebabkan pelbagai perkara termasuk kerja dan hal peribadi bercampur aduk.

"Bila ia bercampur aduk, jadi sukar untuk kendalikan. Perasaan kosong, ada masa kalau bercakap dengan orang termasuk ahli keluarga pun saya kena memaksa diri.

"Orang mungkin nampak perkara itu remeh, tapi bagi saya tidak. Saya masih duduk dengan keluarga dan setiap kali pulang rumah, anak buah terutamanya pasti ingat saya 'happy' tapi 'cranky' pula.

"Jadi itu buat saya rasa ia tidak bagus, reda saja dengan keadaan, sebaliknya kena usahalah. Memanglah bila dalam keadaan itu kita akan cenderung untuk bersendirian dan tak nak bergaul dengan orang," katanya.

Dalam tempoh itu, keluargalah yang paling banyak membantu, anak-anak buah menceriakan, kawan-kawan tanya khabar. Hun juga percaya bantuan paling penting adalah berkomunikasi dan interaksi dengan orang.

Rentetan pengalaman itu, terbaru Hun juga turut menyertai sebuah kempen berkaitan permasalahan kesihatan mental.

"Saya pun ada sertai sebuah kempen yang sangat bagus. Sebuah kempen untuk sesiapa yang mengalami masalah kesihatan mental, boleh muat turun satu aplikasi dan dapatkan sesi percuma.

"Kalau tak pasti minta pertolongan dari mana, menerusi aplikasi itu, boleh dapat bantuanlah secara tertutup luah perasaan. Kempen itu akan bermula sekitar bulan April ini juga. Saya harap dengan menyertai kempen itu, boleh memberi kesedaran lebih kepada ramai orang di luar sana," katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2023 @ 12:29pm
d