rap

DJ Lin kini bertudung

Oleh Ramlah Zainal

Petaling Jaya: Penyampai radio Suria FM, DJ Lin, 47, mengalirkan air mata ketika berkongsi cerita penghijrahannya yang kini sudah bertudung selepas pulang dari mengerjakan umrah, baru-baru ini.

Lin atau nama sebenarnya, Roslinda Abd Majid yang juga Pengurus Besar Suria FM berkata, pemergian ibu, Puteh Jantan tahun lalu dan abangnya, Mohd Yusof Abdul Majid tahun ini, sangat memberikan keinsafan buat dirinya.

"Sepanjang tempoh 23 tahun saya menghambakan diri dalam bidang radio, arwah mak pernah cakap, fokus saya nombor satu pada kerja dan keluarga pula jatuh nombor dua.

"Bila orang lain pulang ke kampung, saya pula sibuk bekerja di pejabat kerana sayang sangat dengan Suria FM yang dianggap seperti 'baby' saya ini," katanya kepada Harian Metro.

Lin berkata, pemergian dua anggota keluarga terdekat itu membuatkan dia terduduk dan sedar sebagai manusia kita perlu kembali kepada fitrah sebagai hamba Allah.

"Bila arwah mak dan abang meninggal dunia, baru saya sedar adakah saya terlalu mengejar urusan dunia dan hal keduniaan? Sampai masanya, saya seimbangkan urusan dunia dan akhirat sekarang," katanya.

Mengulas mengenai penampilan dirinya yang sudah bertudung, Lin berkata, dia memutuskan untuk menutup aurat sepenuhnya sebaik saja kembali dari Makkah.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana akhirnya hati terbuka untuk menutup aurat sepenuhnya kerana memang sudah lama saya merancang untuk bertudung.

"Waktu di Makkah dan Madinah, saya memang pakai tudung labuh dan ada masanya berniqab di Tanah Suci.

"Saya percaya ia petanda yang baik kerana hati berasa tenang dan damai sepanjang di sana hingga saya sudah pasang niat untuk bertudung sebaik saja kembali ke tanah air," katanya.

Ia adalah kali ketiga Lin mengerjakan umrah selepas 2012.

Disiarkan pada: April 13, 2023 @ 1:31pm
d