rap

Nurul Shuhada kongsi berita hamil untuk elak fitnah

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: Tindakan isteri pelakon, Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, berkongsi berita dia hamil 10 minggu adalah kerana mahu mengelak fitnah.

Nurul Shuhada ketika dihubungi berkata, apa yang dilakukan itu adalah tindakan matang kerana dia percaya rakyat Malaysia boleh menilai sendiri kronologi dan usia kandungannya.

"Saya menjalankan tanggungjawab wajib sebagai isteri walaupun hati sedang bersedih dan kecewa tambahan lagi kami tinggal sebumbung lagi ketika itu.

"Saya membuat perkongsian di media sosial bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan fitnah pada masa akan datang. Malah, saya juga sudah mendapatkan nasihat peguam sebelum mengambil sebarang tindakan," katanya.

Nurul Shuhada berkata, fokusnya ketika ini adalah untuk meneruskan kehidupan walaupun pelbagai dugaan dan cabaran yang bakal mendatang.

"Apa yang berlaku adalah ujian Allah SWT untuk menjadikan saya lebih kuat. Jika ditanya mengenai perancangan, saya tidak mempunyai jawapan mengenai soalan itu," katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut mengenai kehamilan, Nurul Shuhada berkata, dia pengsan ketika melakukan pemeriksaan di hospital semalam kerana keadaan badan yang lemah.

Insiden itu membuatkan dia bimbang jika masalah tekanan yang dihadapi akan memberi kesan kepada anak-anak dan orang sekeliling.

"Semalam di hospital saya jatuh pengsan. Doktor minta saya berbuka puasa kerana bimbang membahayakan kandungan. Saya termenung serabut, air mata tak henti mengalir.

"Saya betul-betul takut. Saya tanya pada diri sendiri adakah mampu menghadapi ini. Saya mahu terus kuat untuk anak-anak. Saya mahu melihat anak-anak membesar depan mata," katanya.

Konflik rumah tangga pasangan ini masih belum menemui noktah apabila kes tuntutan pengesahan lafaz cerai dibuat Hafidz terhadap Nurul Shuhada ditangguhkan selepas Aidilftiri.

Nurul Shuhada mendakwa Hafidz pernah melafazkan talak kepadanya menerusi WhatsApp selain melalui panggilan telefon pada 22 Januari dan 22 Februari lalu.

Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah dan Umar.

Disiarkan pada: April 14, 2023 @ 4:14pm
d