rap

'Rohana Jalil memang nampak tak sihat' - Jaafar Onn

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Kalau tengok pada keadaan Ana (Rohana) yang kini kritikal, memang saya susah hati. Saya minta kita sama-sama doakan agar dia kembali sihat seperti biasa. Kalau saya tak sihat pun, dia turut susah hati. Dia sangat prihatin."

Itu kata penyanyi, pelakon dan pengacara, Jaafar Onn, 72, mengenai rakan karibnya, penyanyi era 1980-an, Rohana Jalil, 68, yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia tanpa diketahui penyakit, sejak semalam.

Jaafar yang bertemu Rohana ketika sama-sama mengadakan persembahan di Plaza Masalam, Shah Alam, Ahad lalu, mengakui keadaan kesihatan Rohana ketika itu kurang baik.

"Waktu itu dia sedang sakit. Tiba-tiba dia berjalan perlahan seperti penat tapi dia nak menyanyi juga. Jadi, saya biarkan dia menyanyi. Tak tahu apa sakitnya tapi dia kata mungkin gastrik kerana dia diet.

"Sebenarnya masa dia sampai pun nampak memang tak sihat, tapi dia menyanyi juga sampai habis dengan kami. Kiranya dia profesional walaupun dalam keadaan sakit," katanya.

Jaafar berkata, dia memang tidak tahu Rohana sakit dan sebagai rakan, kadang-kadang dia tidak ambil tahu sangat mengenai hal peribadi.

Mereka juga hanya berjumpa sekiranya ada persembahan bersama atau ada hal yang lain. Namun, mereka kerap berhubung menerusi WhatsApp.

"Masing-masing ada urusan sendiri. Kalau setahun tiada 'show', setahunlah tak jumpa. Namun namanya sering tersenarai dalam persembahan artis di bawah jagaan Jaafar Onn.

"Untuk mana-mana persembahan saya memang tak pernah tinggalkan namanya. Dia memang sentiasa ada kerana sangat menyokong. Kami juga ada 10 album duet," katanya.

Jaafar berkata, mereka sepatutnya ada persembahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur selepas Aidilfitri ini.

"Ada pihak mahu kami duet menyanyi lagu-lagu lama. Kami memang laris untuk majlis kahwin kerana genre yang dibawakan. Orang sukakan gandingan kami. Saya kena tengok keadaan dia macam mana nanti," katanya. Terdahulu Rohana atau nama sebenarnya Dara Jalil yang juga juara Bintang RTM 1980 dilaporkan berada dalam kritikal di ICU sejak semalam.

Disiarkan pada: April 19, 2023 @ 4:11pm
d