rap

Saharul tak rasa tergugat, tumpu perniagaan

Oleh Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Pelakon Saharul Ridzwan mengakui wajahnya sudah jarang muncul di televisyen ketika ini kerana lebih dua tahun tidak berlakon drama.

Menurut hero filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang ini, bukannya tiada tawaran berlakon drama mahupun telefilem sebaliknya dia mahu memberi fokus pada perniagaan Qaabila Skincare diusahakannya.

"Saya masih meneruskan karier lakonan dan jika ada tawaran berlakon drama atau naskhah menarik, saya akan mempertimbangkannya terlebih dahulu.

"Buat masa ini, saya sibuk untuk mengembangkan bisnes yang juga jaminan untuk masa depan saya dan keluarga.

"Saya juga sudah berasa selesa dengan rutin kerja sekarang yang bermula jam 9 pagi dan selesai jam 5 petang terus pulang ke rumah untuk bersama keluarga," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada dia berasa tergugat dengan kehadiran ramai wajah baru yang muncul di TV ketika ini, Saharul mengakui dia sudah tidak mengikuti perkembangan industri hiburan sejak 2021.

"Pada pemerhatian saya, banyak yang sudah berubah dalam industri hiburan tanah air ketika ini.

"Apa yang saya nampak banyak garis panduan yang sudah dilanggar oleh pembikin filem ketika ini. Contohnya, penerbitan filem yang mempersendakan agama seperti Mentega Terbang yang mencetuskan kontroversi sebelum ini," katanya.

Mengulas mengenai filem Mentega Terbang lagi, kata Saharul, dia berasa bimbang dengan penerbitan filem sedemikian.

"Saya berasa bimbang kerana pengarah dan pelakon filem itu adalah bangsa Melayu dan beragama islam. "Jika pengarah dan pelakon itu faham mengenai ajaran agama islam, mereka tidak akan terbabit dalam filem yang mempersendakan agama seperti itu," katanya.

Tambah Saharul, sebagai selebriti dia juga berasa bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

"Saya juga menyalahkan diri sendiri kerana sebagai selebriti, saya sepatutnya menegakkan syiar agama islam di media sosial dan meneruskan usaha dakwah Rasulullah SAW kepada pengikut bagi menghalang pembikinan filem sedemikian," katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2023 @ 12:13pm
d