rap

'Syukur penerbit filem Air Force The Movie beri bonus penghargaan'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Terima kasih penerbit filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa kerana memberi kami bonus penghargaan."

Demikian kata pelakon terkenal, Datuk Adi Putra apabila dia bersama pelakon dan kru filem itu mendapat bonus bersempena kejayaan filem berkenaan di pawagam.

Adi yang melakonkan watak Major Adnan Zaid atau Lejen berkata, ia tanda pasukan filem itu saling menghargai.

"Berapa jumlah bonus, itu rahsia. Apa boleh dikata, syukur Alhamdulillah.

"Apa yang penting, penerbit menghargai barisan pelakon dan tenaga kerja. Pasukan filem ini saling hormat menghormati dan menghargai," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya adakah dia turut menerima bonus daripada filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mencatat kutipan mencecah RM100 juta, ini jawapan Adi.

"Saya kena jujur, tidak ada. Tapi, saya tetap bersyukur," katanya.

Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa diterbitkan oleh Golden Screen Cinemas, FXHammer Films, Multimedia Entertainment dan SixFun Media mencatat kutipan RM30 juta.

Disiarkan pada: April 27, 2023 @ 3:59pm
d