rap

Fadlan bertunang wanita Kazakhstan

Oleh Ramlah Zainal

 

Shah Alam: Pelakon Fadlan Hazim, 31, mengesahkan dirinya sudah bertunang dengan wanita pilihannya yang juga kelahiran Kazakhstan iaitu Aiya Mukhamedsalova, 29, pada 1 Oktober tahun lalu.

Menurut Fadlan atau Fadlan Hazim Anuwar, majlis itu berlangsung di kediaman wanita terbabit di Kazakhstan.

"Saya berjumpa dengan keluarganya secara sendirian di Kazakhstan pada Oktober tahun lalu.

"Majlis pertunangan kami hanya berlangsung secara ringkas dan hanya membabitkan anggota keluarganya sahaja," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya kenapa dia tidak berkongsi mengenai berita majlis pertunangannya itu lebih awal, kata Fadlan, dia bimbang jika apa yang dirancang tidak menjadi.

 "Saya tidak bermaksud mahu menyorokkan majlis pertunangan kami, cuma saya tidak mahu terlalu berkongsi mengenainya," katanya.

Fadlan ditemui ketika majlis pelancaran pembukaan cawangan baharu jimnasium Elitez MMA di sini, petang tadi.

Bercerita mengenai pertemuannya dengan keluarga tunangnya itu, kata Fadlan dia juga sempat mengenali budaya masyarakat di sana yang cukup unik dan menarik.

"Sebelum berkahwin, kaum lelaki di sana perlu melalui beberapa ujian bagi menguji 'kelelakian' serta kesungguhan untuk berumah tangga. 

"Saya pun tak tahu perlu melalui ujian terbabit. Tunang saya juga tidak beritahu mengenai perkara itu. Cuba dia minta saya hanya lakukan sahaja apa yang disuruh. 

"Antara yang perlu saya lakukan adalah berjalan di atas paku, menunggang kuda dan minum susu kuda. 

"Saya juga dibawa mendaki gunung dalam keadaan suhu yang amat sejuk. Bayangkan saya perlu mendaki gunung tanpa memakai baju tebal," katanya.

Sementara itu, ditanya perancangan mendirikan rumah tangga pula, kata Fadlan, majlis perkahwinan mereka dijangka berlangsung pada hujung tahun ini. 

"Belum ada tarikh yang pasti lagi. Buat masa ini, saya sibuk menguruskan dokumen berkaitan kerana ia membabitkan perkahwinan dengan warga asing dan di luar negara. 

"Saya juga percaya sudah sampai masanya untuk saya berkahwin kerana semua kawan-kawan sudah beristeri dan usia  pun semakin meningkar," katanya.

 

Disiarkan pada: April 29, 2023 @ 9:25pm
d