rap

Fadlan tak tamak

Oleh Ramlah Zainal

Memiliki paras rupa kacak dan tubuh sasa adalah bonus buat pelakon, Fadlan Hazim, 31, untuk digilai ramai peminat wanita.

Hakikatnya, Fadlan memiliki lebih dari itu. Bukan saja bakat, sebaliknya dia memang bekerja keras untuk membina nama dalam bidang lakonan.

Malah, Fadlan antara pelakon yang terus menjadi pilihan penerbit dan pengarah di tanah air ketika ini.

Justeru tidak hairanlah nama Fadlan terus bertahan selepas lebih sedekad berkecimpung dalam bidang lakonan.

Terbaru, Fadlan dilamar produksi Global Station Sdn Bhd untuk beraksi sebagai hero dalam projek drama bersiri 50 episod yang juga adaptasi dari Telenovela Colombia, 'CafÈ con aroma de mujer' arahan Azri Gigon.

Menurut Fadlan atau nama sebenarnya Fadlan Hazim Anuwar, kali terakhir dia terbabit dengan drama bersiri terbitan pihak Global Station ialah menerusi drama bersiri popular sebanyak 80 episod berjudul Papa Ricky pada 2017.

Apa yang menarik, Fadlan bakal bergandingan dengan pelakon popular Ayda Jebat selaku heroin dalam drama bersiri itu.

"Saya juga membuat persiapan dari segi imej dan penampilan untuk watak hero yang romantik dalam cerita itu. Nama watak belum tahu lagi sebab skrip masih ditulis dan setakat ini, saya baru saja membaca sinopsis.

"Saya terima tawaran buat cerita ini kerana latar belakang watak, 'feel 'dan 'look' dia berbeza dari yang pernah dilakonkan. Dari apa yang saya bayangkan, saya akan tampilkan kelainan dalam lakonan saya melalui watak ini.

"Demi merealisasikan watak, saya juga menyimpan jambang selama tiga bulan kerana mahu tampilkan kelainan. Penggambaran drama bersiri ini bakal berlangsung pada pertengahan bulan ini dan proses penggambaran mengambil tempoh selama lima bulan," katanya.

Ditanya projek drama atau filem baru lain pula, kata Fadlan, dia lebih suka fokus kepada satu projek dalam satu masa.

"Saya tidak mahu terima banyak tawaran dalam satu masa kerana bimbang tidak dapat memberi yang terbaik dan menyusahkan diri sendiri dan pihak produksi.

"Sebab itu saya ada pengurus dan pihak pengurusan yang membantu mengatur jadual karier seni. Tawaran untuk berlakon filem pula, saya selalu terlepas kerana ia selalu bertindih dengan jadual," katanya.

Mengulas soal bayaran pula, kata Fadlan, dia juga tidak 'demand' soal bayaran bila diminta produksi untuk mengubah imej atau penampilan kerana percaya 'look' itu penting untuk membantu merealisasikan sesuatu watak dilakonkan.

"Kalau badan saya gemuk dan produser minta kuruskan badan untuk tampil fit, saya dengan rela hati sanggup berbuat demikian. Contohnya, saya pernah botakkan kepala untuk menjiwai watak dalam filem Sangkar sebelum ini.

"Bayaran saya pula tidaklah terlalu tinggi sangat tetapi berpatutan dengan hasil kerja diberikan," katanya.

Antara projek lakonannya yang masih menanti tayangan ialah Peluang Ketiga bersama Nabila Razali iaitu kisah percintaan seorang pelumba basikal negara dan penyanyi yang baru meningkat naik.

Selain itu, drama komedi Abah Next Door bersama Datuk Rosyam Noor dan Sharifah Husna.

Tak Niat Berahsia

Fadlan juga sudah bertunang dengan kekasihnya yang juga jurutera perisian komputer kelahiran Kazakhstan iaitu Aiya Mukhamedsalova, 29, pada 1 Oktober tahun lalu.

Bukan mahu merahsiakan majlis pertunangannya itu, tetapi dia tidak mahu terlalu banyak berkongsi cerita peribadi berdasarkan pengalaman pahit yang lalu.

"Saya bimbang jika yang dirancang tak menjadi, saya pulak nak kena menjawabnya nanti," katanya.

Bercerita mengenai majlis pertunangannya itu, kata Fadlan, ia hanya berlangsung secara ringkas di kediaman Aiya di Kazakhstan.

"Saya melamarnya secara sendirian di kampung halamannya di Kazakhstan dalam majlis ringkas di hadapan keluarganya.

"Saya memang berasa gementar kerana mereka tidak boleh bercakap dalam bahasa Inggeris dan hanya berbahasa Russia. Mujur Aiya menjadi penterjemahnya," katanya.

Mengenai majlis perkahwinan pula, kata Fadlan, mereka merancang untuk melangsungkan majlis pernikahan pada hujung tahun ini di sini.

"Walaupun adat dan budaya kita berbeza tetapi agama kita sama iaitu Islam. Saya juga belajar bahasa Russia untuk memudahkan komunikasi dengan ahli keluarganya di sana. Pada masa sama, Aiya juga sudah bekerja dan menetap di negara ini lebih 10 tahun.

"Bila sudah ada tarikh nikah, saya akan kongsikan dengan pihak media nanti," katanya.

Mengimbas detik perkenalan mereka pula, kata Fadlan, mereka mula bertemu di gimnasium.

"Aiya mula kenal saya sebagai orang biasa sahaja dan bila kami mula ikuti Instagram masing-masing, baru dia tahu saya seorang pelakon.

"Saya pula memilihnya sebagai calon isteri kerana kami ada banyak persamaan dan hobi yang sama iaitu bersenam di gimnasium," katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2023 @ 7:24am
d