rap

'Cantik belum tentu bahagia' - Bella Astillah

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur : Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, 29, menyifatkan kecantikan dalam penampilan diri bukan jaminan untuk seorang wanita menikmati kebahagiaan hubungan rumah tangga melainkan bagi membentuk keyakinan diri.

Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah ketika ditemui berkata, dia memilih sentiasa tampil cantik untuk membentuk keyakinan dirinya dan tidak sesekali cuba menunjuk kepada orang.

"Sebenarnya pada saya, kita (wanita) tampil cantik bukan semata-mata untuk menunjuk pada orang, tetapi lebih kepada membentuk keyakinan diri.

"Kalau nak cakap pasal dia ni cantik-cantik pun ramai saja (wanita) dengan Aliff, cantik-cantik pun kena tinggal, kena curang dan sebagainya, tapi ia terpulang kepada individu itu masing-masing.

"Ada saja yang saya kenal, kawan rapat dan dia pun jenis tak bersiap, hanya jaga anak-anak dan buat kerja rumah, tapi suami dia tetap sayang. Jadi benda itu (kebahagiaan rumah tangga) tidak tertakluk pada kecantikan atau pun keperibadian seseorang," katanya kepada Harian Metro.

Bella berkata, perkara membabitkan kecurangan ini juga tidak boleh dijangka. Cuma, apa yang perlu dilakukan wanita untuk sentiasa tampil cantik adalah demi diri sendiri dan membentuk keyakinan diri.

"Dalam soal curang ini, bukan terarah kepada lelaki saja. Wanita atau lelaki, dua-dua ini boleh curang. Cuma, untuk mengelaknya saya percaya jangan memberi ruang seperti kita bagi respon yang nampak okay.

"Masalah pasangan curang ini juga bukan hanya berlaku kepada selebriti saja, tapi mereka dalam karier lain juga. Apapun, semuanya berbalik kepada diri sendiri. Sama ada melayan atau tidak," katanya.

Mengulas karier nyanyian, Bella berkata, dia yang melancarkan single Tetap Di Sini beberapa bulan lalu menujukan lagu itu khas buat suaminya, pelakon Aliff Aziz.

Katanya, ada lirik ditulis memang dituju kepada Aliff.

"Lirik yang ditulis itu menggambarkan perasaan sebenar saya kepada Aliff. Saya akan terus berada di sisinya (Aliff) selagi ada jodoh kami dan dipanjangkan usia," katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2023 @ 11:13am
d