rap

Yonnyboii layan isteri mengidam, tak sanggup air liur anak meleleh

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi rap, Yonnyboii, 24, akan berusaha melayan dan mendapatkan apa saja makanan diidamkan isterinya, Nik Nazira Narriman yang kini hamil lapan bulan kerana enggan air liur anak meleleh.

Yonny atau nama sebenarnya,  Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin ditemui berkata isterinya sudah mengidam pelbagai jenis makanan. Katanya, ada makanan yang sudah pun dapat dimakan dan ada juga masih dicari-cari lagi.

"Dalam tempoh lebih sebulan ini saya akan terus berusaha mencari dan mendapatkan makanan yang diidamkan isteri. Sebabnya, emak saya selalu mengingatkan agar mencari makanan diidamkan itu sampai dapat.

"Maklumlah, kata orang tua-tua kalau isteri hamil tak dapat makanan yang diidamkan itu, nanti air liur anak akan meleleh. Jadi, kalau boleh saya tak mahulah air liur anak kami  meleleh-leleh pula nanti.

"Saya akan usaha cari dan cuba dapatkan apa saja isteri idamkan selagi belum sampai masa dia bersalin. Insya-Allah, saya yakin dapat menunaikan semua benda yang didamkan itu," katanya.

Mengulas jantina anaknya, Yonny berkata dia dan Nazira sudah mengetahuinya, namun biarlah dirahsiakan dulu sebagai kejutan kepada kawan-kawan. Katanya, dah lahir nanti barulah semua akan tahu.

Ditanya perancangan lagu istimewa untuk anaknya, Yonny tidak berahsia dan memberitahu dia dalam proses menyiapkan lagu itu sebelum bayi sulung mereka  dilahirkan pada pertengahan Julai depan.

Yonny berkata, lagu itu juga bakal dimuatkan dalam album pertamanya yang masih dalam pembikinan dan dijangka akan dilancar pada tahun ini

"Insya-Allah, saya dan isteri akan menimang cahaya mata kami pada pertengahan Julai depan. Sekarang, usia kandungan pun sudah mencecah lapan bulan.

"Tak sabar sebenarnya nak jadi ayah, walaupun pada masa sama perasaan sangat berdebar. Tapi, lagu istimewa untuk anak saya memang dalam proses untuk disiapkan," katanya.

 Terdahulu, Yonny dan Nazira selamat bernikah pada 20 November 2021 selepas sebulan mereka mengikat tali pertunangan. Pasangan ini dinikahkan dalam satu majlis di Duchess Place, Ampang.

 

Disiarkan pada: May 15, 2023 @ 3:22pm
d