rap

'Tak adil bandingkan arwah Sarah, Watie' - Shuib

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Allahyarham Siti Sarah selamanya akan istimewa dalam hati pelawak Shuib, 39, meskipun tidak lama lagi dia bakal ditemani isteri baharu dalam hidupnya.

Justeru, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad berkata sesiapa pun tidak patut membandingkan arwah dengan tunangnya, Watie Hanifiah, 35.

"Sarah itu sudah ke tempat yang paling istimewa buat saya dan Watie pun tahu hal itu. Perbandingan itu sebenarnya tak patut berlaku. Sebab kita kena terima realitinya. 

"Ini kerana tak adil untuk dia (Watie). Pada saya, apa salah dia kan? Dia nak ada untuk saya itu sebab anak-anak, keluarga.

"Perbandingan itu pun nanti mungkin akan menyakitkan orang juga," katanya.

Shuib juga percaya Watie pasti akan matang berdepan dengan perhatian diterimanya selepas berkahwin dengan selebriti.

"Saya dapat bantuan dengan pengurusan juga untuk terangkan bagaimana berhadapan dengan situasi-situasi yang dia tidak pernah lalui. 

"Saya sudah cakap, beratlah untuk saya. Saya selebriti dan situasinya lain bila dia masuk dalam hidup saya. Tapi, saya rasa semua pun akan melalui proses.

"Jadi proses itu yang akan mendewasakan kita. Saya tak boleh cakap dia betul-betul bersedia, tapi harapnya begitulah," katanya.

Menurut Shuib lagi, hal terpenting difikirkan sebelum mencari teman hidup baharu adalah individu itu sebaiknya bukan dari kalangan selebriti.

"Dalam memikirkan siapa, saya takkan berkawan dengan selebriti. Sebab saya tahu macamana sibuknya selebriti, komitmen mereka terhadap kerja.

"Saya rasa, kenapa saya nak ambil risiko begitu? Semestinya dia akan jadi suri rumah 100 peratus, insya-Allah," katanya.

Shuib dan Watie selamat bertunang pada majlis tertutup di kediaman Watie yang juga seorang usahawan di Shah Alam, pada 6 Mei lalu. Pasangan itu akan bernikah pada 23 Jun nanti.

Sebelum ini Shuib berkahwin dengan penyanyi Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin pada 26 Februari 2011. Bagaimanapun, Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos  2021 kerana dijangkiti Covid-19. 

Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, dan Ariq Matin, 7, dan Ayash Affan, 2.

 

 

 

Disiarkan pada: May 15, 2023 @ 4:49pm
d