rap

Zara Zya penat asyik kena tanya kenapa tak kahwin, tak laku ke?

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: Terkilan dengan komen mengguris hati yang ditinggalkan warganet, pelakon Zara Zya, 37, buat pertama kalinya menitiskan air mata ketika sedang bersiaran langsung.

Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata, dia juga mengambil pendekatan menjauhkan diri daripada orang ramai selepas dihakimi dari segala aspek oleh netizen. 

"Pagi-pagi mungkin mereka membuka mata untuk menyakiti hati orang lain. Tak tahulah kenapa, kita selalunya bangun pagi nak muhasabah diri, tapi ada orang yang buka mata untuk mengecam.

"Ada beberapa soalan yang mungkin sebelum ini saya ambil pendekatan untuk tidak peduli, tapi entah kenapa sejak akhir-akhir ini jadi sensitif sangat. Bukanlah saya tidak boleh ditegur langsung tetapi percakapan itu mengguris hati saya.

"Contohnya seperti tanya tiada orang yang hendak dekat saya ke? Tak kahwin ke? Tak laku ke? Soalan sebegitu yang akhir-akhir ini menyinggung saya.

"Saya gembira saja dengan hidup saya, namun apabila dihakimi dari atas sehingga ke bawah membuatkan saya sendiri trauma hendak keluar," katanya.

Zara ditemui di majlis Aidilfitri Civicas Network & Meerqeen yang berlangsung di sebuah hotel di ibu kota, semalam.

Tegas Zara, kata-kata negatif yang dilemparkan bukan saja memberikan impak terhadap kesihatan mental, malah turut membuatkan dia mengambil pendekatan memencilkan diri.

"Otak saya menjadi penat dengan kata-kata orang. Sehinggakan saya patah semangat untuk membuat 'live' dan keluar berada di tempat awam.  Saya lebih suka duduk terperuk di rumah saja.

"Sukar untuk saya jelaskan, namun saya mengambil solusi tidur sebagai jalan pintas untuk melupakan masalah itu. Malah, saya juga sudah dua bulan berehat daripada berlakon. 

"Mungkin selama ini orang sering melihat saya sering ketawa dan sebagainya, namun saya sendiri tidak sangka impaknya sebegini. Mungkin juga masa itu kurang sesuai," katanya.

Disiarkan pada: May 18, 2023 @ 11:40am
d