rap

Syasya Dolla terima teguran nenek, cuba perbaiki imej seksi

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Anggota kumpulan Dolla, Syasya menerima baik teguran dan nasihat neneknya, pelakon Rozie Othman berkenaan penampilan diri yang dikatakan seksi dan mencolok mata.

Syasya atau nama sebenarnya, Norsyasya Afiqah Shahrizal, 22, berkata, generasi baru sepertinya ada gaya tersendiri dan sudah tentu ada perbezaan diantara zaman dahulu dan sekarang.

"InsyaAllah apa yang nenek tegur dan boleh diperbaiSSSki, saya akan cuba perbaiki. Namun, saya pun nak bawa imej sendiri dan jadi diri sendiri. Tak mahu berpura-pura jadi orang lain.

"Bagi saya apa yang nenek kata itu ada betulnya. Dia (nenek) pun ada niat yang baik. Sebagai cucu, saya faham kebimbangannya terhadap keselamatan saya.

"Nenek ada menghubungi saya dan kami berbual. Nasihatnya pada masa depan jaga-jaga sikit dengan penampilan saya," katanya ditemui pada majlis ramah mesra Dolla bersama media anjuran Universal Music Malaysia malam tadi.

Terdahulu, Rozie yang terkenal menerusi pelbagai drama pada era 1990-an menasihatkan Syasya agar tidak tampil dengan pakaian terlalu seksi hingga jadi perhatian ramai dan sering dikecam netizen.

Mengulas lanjut, Syasya berkata, dia ada bertemu neneknya semasa sambutan hari raya Aidilfitri baru-baru ini dan hubungan mereka amat mesra.

"Nasihat nenek pun saya selalu dengar. Nenek seorang yang 'cool' (tenang). Dia pernah jadi pelakon dan faham situasi industri seni macam mana.

"Sebagai nenek, mestilah dia ambil berat perkembangan saya. Banyak orang cakap macam-macam dan tentulah dia terpanggil untuk nasihat," katanya.

Pada masa sama, Syasya menjelaskan tidak pernah berasa terbeban apabila penampilan dirinya sering dikaitkan dengan seksi.

"Setiap orang ada pendapat masing-masing berkenaan cara pemakaian saya. Kalau ada yang terasa saya seperti terlebih, insyaAllah saya akan kurangkan pada masa depan.

"Tapi seperti dikatakan ia adalah imej saya yang tersendiri. Saya hanya nak orang kenal siapa Sasya Rizal Dolla," katanya.

Disiarkan pada: May 18, 2023 @ 12:28pm
d