rap

'Saya, Nadhir hanya berkawan di media sosial saja'- Angel Dolla

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: Walaupun sering berbalas komen di media sosial, anggota Dolla iaitu Angel,22, menafikan dirinya sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon, Nadhir Nasa.

Angel atau nama sebenarnya, Angelina Chai Ka Ying berpendapat komunikasi antara mereka sekadar kawan seindustri dan tidak lebih daripada itu. 

"Kami hanya kawan, berbalas komen di media sosial tidak bermakna apa-apa. Ia hanyalah tindakan antara kawan. Jujurnya, kami hanya berkawan di sosial media. 

"Apatah lagi, kami juga tidak pernah lepak bersama. Kami kenal sejak berjumpa dalam program hiburan Meletop, di mana kami menjayakan 'dance challenge'. Bermula dari situlah, mula mengenali antara satu sama lain.

"Kalau berjumpa di majlis, kami akan tegur antara sama lain. Dan saya tidak menafikan, kami berdua harap kami akan ada projek bersama. Jadi, kami dapat menimba pengalaman bekerjasama," katanya. 

Hubungan Angel dan Nadhir mula dihidu netizen apabila sering berbalas komen di media sosial. Biarpun ringkas dan pendek, namun peminat mengaitkan status yang mereka berdua muat naik. 

Angel ditemui pada majlis Music Is Universal bersama media malam tadi, menyifatkan Nadhir sebagai kawan dan hanya sering berhubungan menerusi media sosial.

Susulan itu, Angel tidak menafikan ada peminat wanita pelakon Projek: High Council itu menyerangnya, namun dia tidak mengambil hati dengan tindakan mereka. 

"Ya ada (diserang peminat Nadhir), tapi saya memahami perkara itu kerana sebagai peminat wanita pastinya kita prihatin dengan artis kesayangan kita. Saya faham perasan mereka. Tapi tidaklah ramai yang menyerang dan saya okay saja," katanya.

Sebelum ini, Nadhir pernah dikhabarkan menjalinkan hubungan cinta bersama penyanyi jelita, Daiyan Trisha. Namun, kedua-duanya tidak memberikan sebarang pengesahan mengenai dakwaan berkenaan.

 

Disiarkan pada: May 18, 2023 @ 4:35pm
d