rap

Sepenuh hati Sharnaaz untuk Polis Evo 3

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon, Sharnaaz Ahmad meletakkan sepenuh hati dan perasaannya ketika membawakan watak Reza dalam filem Polis Evo 3.

Sharnaaz berkata, dia mengalami penurunan berat badan serta berdepan pelbagai cabaran getir untuk beraksi sebagai bekas anggota polis yang ingin membalas dendam.

"Saya ada masalah dengan gigi geraham bongsu setiap hari. Benda ini nampak biasa, tapi cubalah kalau korang (anda) sakit gigi untuk kau nak berlakon, nak marah dan nak jerit.

"Selain itu saya ada kecederaan di bahagian lutut. Saya kena buat pembedahan hidung lepas berlakon filem ini kerana habuk yang pekat ketika berlakon.

"Bagi saya itu satu memori indah. Selepas penggambaran kita kena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan apabila PKP dilonggarkan saya terus buat pembedahan," katanya ditemui pada Malam Gala Filem Polis Evo 3, malam tadi.

Sharnaaz dilihat melakonkan wataknya dengan berkesan menerusi filem arahan Syafiq Yusof yang turut menampilkan dua watak utama, Zizan Razak sebagai Inspektor Sani dan Shaheizy Sam sebagai Inspektor Khai

serta nama-nama hebat lain.

Malah ketika babak kemuncak, dia dilihat bergenang air mata dalam satu babak bersama Sam.

"Ya semua pun sedia maklum, masa itu saya betul-betul ada pelbagai fasa dalam hidup. Saya kawal emosi dan buat kerja saya. Bagi saya kerja adalah kerja.

"Tanggungjawab saya tetap tanggungjawab saya. Jadi saya buat yang termampu. Cuma saya betul-betul dedikasi hidup saya dengan latihan.

"Saya cakap ini adalah detik yang berharga kerana saya nak buat yang terbaik untuk masa ini. Kalau saya rasa nak angkat kaki pun nak buat dengan cara yang sempurna," katanya.

Menurutnya, rutin hariannya untuk filem ini ialah berlatih dari pagi, petang dan malam.

"Setiap hari saya berlatih untuk saya buat yang terbaik. Kenapa emosi kerana saya rasa itupun saya betul-betul nak buat yang terbaik sahaja.

"Jika tidak mampu berikan yang terbaik, saya akan merasa sedih dengan diri sendiri. Saya dedikasi semuanya. Saya tak kisah dengan bayaran untuk cerita ini. Jadi saya tak peduli berapa yang diterima untuk watak ini," katanya.

Filem Polis Evo 3 terbitan bersama Astro Shaw dan Skop Productions akan menemui penonton di seluruh pawagam seluruh Malaysia, Singapura, Brunei bermula 25 Mei ini.

Keluarga Polis Evo juga bertambah besar apabila disertai nama-nama hebat seperti Nora Danish, Syafiq Kyle, Douglas Lim, Farali Khan, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan dan Eyka Farhana.

Disiarkan pada: May 19, 2023 @ 1:06pm
d