rap

ND Lala hadir majlis tunang Shila Amzah

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur : Majlis pertunangan Shila Amzah, 33 dan pasangannya yang juga pempengaruh media sosial, Ubai MZ, 25, dalam satu majlis tertutup yang berlangsung semalam turut dihadiri bapanya, Datuk ND Lala.

Kelibat penyanyi dan pelakon veteran itu dapat dilihat menerusi perkongsian foto di Instagram Story anak bongsunya, Syada Amzah yang juga disertai isteri, Datin Fauziah Sarman dengan senyuman ceria bersama seisi keluarga.

Perkongsian foto itu didapati menarik perhatian netizen terutama di TikTok yang gembira melihat pasangan suami isteri berkenaan bersatu kembali.

Rata-rata komen ditulis netizen juga mendoakan yang terbaik untuk ikatan perkahwinan ND Lala dan Fauziah.

Sementara itu, Syada atau nama sebenarnya, Nursyuhada Amir Amzah mengucapkan tahniah kepada Shila dan bakal abang iparnya, Ubai atau nama sebenar, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli pada keterangan gambar ditulis secara bergurau.

"Belum boleh ucap selamat datang ke keluarga kami. Kita hanya ucapkan tahniah kepada pasangan merpati dua sejoli Shila dan Ubai. Tak nak panggil abang," tulisnya.

Sebelum ini kecoh mengenai kemelut rumah tangga ND Lala atau nama sebenarnya, Amir Amzah Salleh, 62, yang didakwa sudah berkahwin dua dengan wanita dikenali Siti Munirah Abdul Ghani.

Ia berikutan pada 1 April lalu, Fauziah memuat naik foto wanita terbabit di Instagram yang dipercayai sebagai 'orang ketiga' dalam kemelut hubungan rumah tangga yang dibina selama tiga dekad dengan suami tercinta.

Pada 3 April lalu pula, Fauziah juga hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di Bandar Baru Bangi yang ditemani adik perempuannya dikenali Effi difahamkan untuk memfailkan perceraian.

Pasangan ND Lala dan Fauziah berkahwin pada 1989, Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan empat anak iaitu Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Amzah, Amir Syafiq, 30; Amir Shahir, 28 dan Syada, 25.

Disiarkan pada: May 28, 2023 @ 11:23am
d