rap

Polis Evo 3 kutip RM16 juta dalam masa empat hari, pecah rekod Mat Kilau

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur : Filem Polis Evo 3 mencipta sejarah apabila mencatat kutipan sebanyak RM16 juta selepas empat hari tayangan di pawagam seluruh negara, Brunei dan Singapura.

Kejayaan itu turut menyaksikan filem arahan Syafiq Yusof itu memecah rekod filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan yang mencatat kutipan RM12.2 juta dalam tempoh yang sama.

Syafiq ketika dihubungi berkata, dia tidak menjangka filem itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada rakyat Malaysia dan berharap momentum itu akan berterusan.

"Pertama sekali saya rasa bersyukur Alhamdulillah kpd Allah SWT. Saya juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang sudi menonton filem ini dan saya harap lebih ramai lagi yang akan menonton.

"Saya dan seluruh produksi bertungkus-lumus untuk menghasilkan karya tempatan yang berkualiti, jadi saya berharap lebih ramai akan ke pawagam untuk menonton filem ini.

"Semestinya saya terharu kerana baru minggu pertama filem ini sudah mencatatkan jumlah yang begitu memberangsangkan. Jadi, saya berharap momentum ini akan diteruskan ke minggu akan datang,' katanya kepada Harian Metro.

Polis Evo 3 menampilkan lakonan Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi.

Ia mengisahkan mengenai Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaru dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza.

Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.

Terdahulu, Polis Evo pada 2015 mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office lebih RM18 juta dan Polis Evo 2 (2018) mencatat kutipan RM23 juta.

Disiarkan pada: May 29, 2023 @ 2:43pm
d