rap

Rohana Jalil selamat dikebumikan

Oleh Norhayati Nordin

Subang Jaya : Jenazah Allahyarham Rohana Jalil, 68, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, di sini, pada jam 11.45 pagi, hari ini.

Kira-kira 300 orang hadir termasuk keluarga, kenalan dan rakan artis memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang sebelum itu disembahyangkan di Masjid Al-Falah, USJ 9, di sini, jam 11 pagi.

Antara rakan artis yang hadir ialah Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Nash, Azizul Khamis, Ramlah Ram, Herman Tino, Azian Mazuan Sapuan, Fasha Sandha, Joe Flizzow, Ramlah Ram, Norshila Amin, Haiza, Ziela Jalil dan ramai lagi.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada jam 11.33 malam.

Terdahulu, Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan pada 20 April lalu akibat kebocoran usus dan dirawat kira-kira dua bulan

Masalah kebocoran usus dialami menyebabkan kuman sudah merebak ke beberapa organ utama arwah seperti paru-paru dan buah pinggang dan terpaksa diletakkan di wad pemantauan.

Biarpun dalam kesakitan, penyanyi lagu Rayuanku itu tidak kenal erti menyerah dan terus berjuang melawan penyakitnya itu hinggalah denyut nadinya terhenti.

Allahyarham yang berasal dari Kota Tinggi, Johor mula menceburkan diri dalam bidang seni selepas memenangi pertandingan Bintang RTM pada 1980.

Selama empat dekad berkecimpung dalam bidang muzik, arwah sudah merakamkan lebih 20 album. Antara lagu popularnya pula adalah Resah Ku, Kerana Dia Kita Terpisah, Faez dan Jauh Terkenang.

Disiarkan pada: June 21, 2023 @ 12:48pm
d