rap

Tak terhad satu genre

Oleh Ramlah Zainal

PENYANYI dan komposer Ikhwan Fatanna bukan sahaja berbakat dalam bidang muzik, malah cenderung menghasilkan lagu untuk penyanyi terkenal seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Awie, Hafiz Suip, Ernie Zakri, Siti Nordiana, Haqiem Rusli, Adira, Amir Masdi dan ramai lagi.

Menurut Ikhwan, 33, yang turut bermain piano dan gitar, dia mula menghasilkan lagu untuk artis terkenal sejak berkecimpung dalam industri muzik tanah air pada 2017.

"Komposer terkenal Omar K banyak membantu saya dalam menghasilkan lagu untuk artis terkenal.

"Selain Omar, saya juga belajar buat lagu dan menimba pengalaman dengan seorang lagi komposer terkenal iaitu Audi Mok," katanya.

Mengenai genre lagu pula, kata Ikhwan yang turut menggunakan nama pena sebagai komposer iaitu Blaine Bakri, dia tidak terhad menghasilkan lagu dalam satu genre sebaliknya dalam pelbagai genre seperti lagu ketuhanan, cinta dan patah hati untuk artis lain.

"Pada pandangan saya, ramai peminat yang suka dengan lagu genre cinta dihasilkan sebelum ini.

"Pada masa sama, syarikat rakaman Nova Music juga banyak membantu menaikkan nama saya sehingga karya dihasilkan pernah mara ke Anugerah Juara Lagu (AJL)," katanya.

Ikhwan ditemui pada majlis pelancaran pakej umrah mukim 80 hari dan majlis menandatangani memorandum kerjasama di sini, baru-baru ini.

Mengulas lagu genre ketuhanan pula, kata Ikhwan, dia yakin lagu genre ketuhanan masih mendapat tempat di hati peminat.

Menurut Ikhwan yang sudah menulis lebih 30 lagu, namanya juga mula dikenali ramai menerusi lagu genre ketuhanan dan islamik berjudul Bismillah sebelum ini.

"Saya juga tidak pernah serik untuk menghasilkan genre lagu ketuhanan kerana penerimaan setiap lagu dihasilkan juga subjektif dan terpulang kepada cita rasa peminat.

"Mungkin pasaran lagu ketuhanan tidak besar seperti lagu genre lain seperti cinta, tetapi masih ada peminat yang menggemari genre sedemikian," katanya.

Sementara itu, ditanya pandangan mengenai trend artis sekarang menghasilkan lagu sendiri berbanding mendapatkan khidmat komposer, kata Ikhwan, ia sesuatu yang sihat untuk industri muzik tempatan.

Bagaimanapun, kata Ikhwan, ada penyanyi yang belum sampai tahap untuk menjadi komposer dan lagu dihasilkan tidak menjadi.

Mengenai kelebihan sebagai penyanyi dan komposer, kata Ikhwan, ia membabitkan faktor bayaran royalti yang diterima secara berterusan selepas bergelar komposer.

Ikhwan mencipta nama menerusi lagu Kisah Cinta dendangan Hafiz Suip dan Ku Bersuara nyanyian Ernie Zakri yang mara ke pentas AJL ke-34.

Lagu Ku Bersuara ciptaannya dengan nama pena Blaine Bakri bersama Omar K, Syamel dan John Jeevasingham.

Manakala, lagu ciptaannya bersama Omar K, Haqiem dan Aman RA berjudul Jatuh Bangun dendangan Haqiem Rusli melangkah ke pentas akhir AJL ke-33.

Disiarkan pada: July 6, 2023 @ 6:20am
d