rap

Pekin nafi berlumba, penyebab kemalangan kereta GR Yaris miliknya

Oleh Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah Pekin Ibrahim menjelaskan dia tidak memandu kereta  jenis GR Yaris Kansai D1 Edition miliknya yang mengalami kerosakan teruk (total lost) selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Putra Height, Subang Jaya di sini, baru-baru ini.

Menerusi perkongsian video di aplikasi TikTok, Pekin atau nama sebenar, Mohd Iznan Ibrahim, 42, berkata, ketika kejadian terbabit, kereta itu dipandu rakannya, Amirul.

Katanya, tiga orang rakannya berada dalam kereta itu ketika kemalangan berkenaan.

"Alhamdulillah, mereka semuanya selamat walaupun mengalami kecederaan termasuk patah bahu. Doakan rakan-rakan saya itu cepat sembuh," katanya.

Dalam perkongsian itu lagi, kata Pekin, dia juga meminta semua pihak menghentikan komen yang mendakwa mereka yang terbabit dalam kemalangan itu meninggal dunia kerana berlumba.

"Menurut rakan saya, Amirul, mereka  bukan berlumba sebaliknya keluar makan dan kejadian itu berlaku sekelip mata.

"Mereka juga masih trauma dan doakan rakan-rakan saya ini cepat sembuh dan selepas itu baru kami bincang mengenai kejadian itu," katanya.

Walaupun sedih dengan kejadian yang berlaku, suami kepada pelakon Mona Allen itu turut  mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat dan bertanya khabar dirinya.

"Ramai yang menghantar Whatsapp dan Direct Message (DM) bertanya keadaan kerana mereka ingat saya yang memandu kereta itu.

"Saya nak beritahu bukan saya yang memandu kereta terbabit. Alhamdulillah, saya selamat dan apa yang berlaku aturan Allah," katanya.

Pada masa sama, Pekin turut menitipkan pesanan buat semua yang menonton video berkenaan.

"Kalau bawa kereta member (kawan), cuba biasakan dulu dengannya dan buat macam kereta orang lain.

"Saya bukan nak salahkan sesiapa kerana benda sudah jadi. Takpalah, saya anggap tiada rezeki," kongsinya lagi.

Sementara itu, difahamkan, kereta milik Pekin itu juga mendapat sentuhan istimewa oleh pemilik Kansai Service di Jepun dan baru sahaja tiba di Malaysia seminggu lalu.

Disiarkan pada: July 12, 2023 @ 3:38pm
d