rap

Tom hamil dua bulan, bau suami pun buat dia loya

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur : Akibat mengalami alahan kehamilan teruk, penyanyi, Tom yang kini hamil dua bulan terpaksa menolak tawaran persembahan buat sementara waktu.

Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram berkata, rutin hariannya terganggu kerana keadaan kesihatannya yang kurang mengizinkan ketika ini.

"Setiap kali hamil saya memang mempunyai alahan yang teruk. Lagipun apabila semakin meningkat usia, badan semakin lemah berbanding dulu. Kali terakhir mengandung adalah 10 tahun lalu, namun diberikan rezeki untuk mengandung lagi.

"Sebelum ini tiada rezeki kerana saya memang seorang yang lasak dan banyak 'show', namun kali ini terpaksa kurangkan kerana kesihatan pun tidak mengizinkan.

"Alhamdulillah selepas mendirikan rumah tangga dengan Fuad, saya banyak ditawarkan untuk membuat persembahan di Singapura. Pakej suami isteri dan menumpang rezeki Fuad di sana.

"Namun buat sementara waktu ini, saya terpaksa menolak dulu persembahan kerana badan tidak kuat. Hanya mampu baring. Kalau makan mesti muntah. Bukan 'morning sickness' tetapi pagi petang, siang dan malam," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Tom, hidungnya juga menjadi bertambah sensitif dengan bau-bauan sejak hamil. Malah, dia juga tidak dapat memasak sepanjang tempoh ini kerana alahan yang dialami.

"Saya tidak boleh menghidu sesuatu yang terlalu wangi dan sebarang bau-bauan. Malah, bau anak-anak dan suami pun boleh membuatkan saya pening dan loya.

"Oleh itu, sepanjang tempoh ini saya pun tidak boleh memasak kerana tidak tahan dengan bau. Memang lemah betul keadaan saya ketika ini," katanya.

Tom dan Fuad mendirikan rumah tangga pada majlis tertutup pada 26 Februari lalu.

Sebelum ini, Tom dan Fuad pernah menjalin hubungan cinta pada 2005, namun, berpisah pada 2010.

Cinta mereka bertaut semula selepas masing-masing terbabit dalam Gegar Vaganza musim kesembilan, tahun lalu.

Disiarkan pada: July 13, 2023 @ 5:56pm
d