rap

Yonnyboii kini menunggu hari

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Tindakan komposer dan penyanyi rap, Yonnyboii, 24, masih membawa isterinya, Nik Nazira Narriman menghadiri acara hiburan walaupun wanita itu kini menunggu hari untuk melahirkan anak sulung mereka.

Yonny atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin berkata, dia bimbang untuk meninggalkan isterinya bersendirian di rumah dan memilih membawanya bersama.

"Usia kandungan isteri sekarang sudah sembilan bulan dan boleh dikata dia menunggu hari untuk bersalin. Jadi, kami kini dalam keadaan bersiap sedia saja menanti masanya bayi dilahirkan.

"Malah, segala persediaan seperti pakaian ibu, barangan keperluan bayi dan sebagainya untuk ke hospital sudah saya siapkan di dalam kereta. Sekiranya Nazira dah rasa sakit nak bersalin, kami akan terus ke hospital saja," katanya.

Yonny berkata, selama isterinya dalam proses hamil, mereka berdua juga jarang keluar dan banyak menghabiskan masa di rumah.

Dia juga mengambil pendekatan memperlahankan karier seninya.

"Sejak isteri disahkan hamil, saya memang memperlahankan karier seni dan masa kami banyak duduk di rumah saja. Tapi, apabila isteri dah sarat hamil, doktor pun galakkan agar dia banyak berjalan bagi memudahkan proses kelahiran nanti.

"Kami sebenarnya tak keluar selalu dan hanya sekali-sekala saja apabila saya ada acara atau majlis hiburan yang perlu dihadiri. Lagipun, kalau asyik duduk di rumah pun akan bosan nanti. Sebab itu, ada masa sesuai kami tetap keluar juga," katanya.

Mengulas pula jantina anak, Yonny berkata dia dan isterinya bakal menimang cahaya mata sulung lelaki. Mereka juga sudah ada nama yang dipilih dan satu lagu istimewa untuk bayi pun dah siap dihasilkan.

"Doakan urusan kelahiran anak kami dipermudahkan dan berjalan lancar. Saya harap isteri juga dapat bersalin secara nornal. Sekarang, saya sangat teruja untuk bergelar seorang ayah," katanya.

Yonny dan Nazira bernikah pada 20 November 2021 selepas sebulan mereka mengikat tali pertunangan.

Disiarkan pada: July 13, 2023 @ 6:10pm
d