rap

Kimberly Chuah lakukan pelbagai kerja sejak tingkatan 6

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Demi menyara keluarga, pelakon Kimberly Chuah, 23, melakukan pelbagai pekerjaan sejak masih menuntut di tingkatan enam sebelum ceburi bidang seni.

Kimberly berkata dia memikul tanggungjawab besar itu memandangkan bapanya sudah tiada manakala ibunya pula tidak bekerja dan hanya suri rumah sepenuh masa.

"Bukan sebab tak reti duduk diam tapi saya menjadi punca periuk nasi dalam keluarga. Bapa sudah meninggal dan saya anak tunggal. Jadi perlu cari rezeki untuk tanggung keluarga.

"Sewaktu tingkatan enam, saya akan bekerja pada hujung minggu. Selepas tamat sekolah, saya cari duit jadi pekerja promosi, acara, dan pelakon tambahan dalam bidang lakonan," katanya.

Pelakon drama Chinta itu juga menjadikan media sosial sebagai platform untuk mencari sumber pendapatan.

"Saya ada juga terbabit kempen sebagai pencipta kandungan di media sosial. Bagi saya, cabang kerja itupun sebahagian daripada bidang seni yang cukup berguna.

"Sebagai pelakon, saya yakin bidang cipta kandungan platform terbaik untuk memperkenal lagi siapa diri saya. Ia supaya orang akan tertarik untuk menonton lakonan saya juga," katanya.

Pernah menyertai pertandingan Dewi Remaja 2022, Kimberly kini semakin rancak mendapat tawaran berlakon.

"Saya bersyukur semakin terbuka rezeki dalam bidang lakonan. Saya memang nak sangat pergi jauh dan jadikan karier seni sebagai periuk nasi saya," katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2023 @ 12:51pm
d