rap

The 1975 kurang ajar, hina undang-undang negara - Zed Zaidi

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap tindakan vokalis kumpulan The 1975 yang melakukan perbuatan kurang ajar di pentas konsert Good Vibes Festival 2023, yang berlangsung semalam. 

Dalam video yang dikongsikan Zed di Instagramnya, Zed berkata, kumpulan muzik itu sudah menghina agama dan negara Malaysia serta undang-undangnya. 

"Aku sangat marah dengan The 1975 ini. Eh, kau tahu tak apa kau buat semalam? Kau hina kerajaan kami yang sudah berikan permit kepada kau melalui Puspal (Unit Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara) ini. Kau memang kurang ajar. 

"Kemudian, kau hina Malaysia. Kau hina rakyat Malaysia, kau tahu tak? Dengan budaya kau yang mencarut di atas pentas, kau minum arak. Kemudian, kau cium lelaki dengan lelaki, kau cium gitaris kau, dan selepas itu kau sokong pula warna pelangi kau itu. 

"Inilah penyebabnya kenapa kita kena gam artis luar yang buat persembahan atau penggambaran di Malaysia ini, disebabkan perangai kau ini," katanya. 

Menurut Zed, inilah antara penyebab, kenapa penapisan awal terhadap artis dari luar negara yang ingin masuk ke negara ini untuk mengadakan persembahan, perlu dilakukan. 

"Aku memang panas dengan The 1975 ini. Kau tahu tak, bila kau buat konsert, kau memang sepatutnya kena hentikan kau punya konsert selepas 30 minit kau buat konsert itu. 

"Ini memang sepatutnya berlaku daripada awal. Bukan daripada konsert kau, sepatutnya daripada awal kau nak masuk, kita dah halang kau. Inilah penyebab dia kenapa kita ada penapisan awal kepada artis-artis luar yang buat persembahan dan penggambaran di Malaysia ini," katanya. 

Terdahulu, beredar video memaparkan aksi dan tindakan bodoh vokalis kumpulan itu, Matt Healy di beberapa platform media sosial yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat mengenai undang-undang dan agama rasmi Malaysia, serta bercium dengan ahli kumpulannya. 

 

Disiarkan pada: July 22, 2023 @ 2:02pm
d