rap

Hafidz Roshdi cerai talak satu dengan Shuhada

Oleh Ramlah Zainal

  

Shah Alam: Pelakon Hafidz Roshdi, 29, sah bercerai talak satu dengan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.

Hafidz berkata, dia bersyukur kerana sudah bercerai dengan isterinya itu.

"Saya nak ucap terima kasih buat semua yang hormati privasi dan karier seni. Saya juga hormati keputusan  hakim dan berpuas hati dengan keputusan hari ini," katanya kepada Harian Metro. 

Sementara itu, menurut peguam yang mewakili Hafidz iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir berkata,  mahkamah sudah menerima permohonan yang dibuat Hafidz pada 22 Februari lalu.

"Cerai hanya berlaku sekali sahaja. Tuntutan balas daripada Shuhada yang dakwa ada tuntutan sebelum itu pada 22 Januari, hakim tidak terima. 

"Hanya talak satu dijatuhkan, walaupun Shuhada minta talak dua," katanya.

Terdahulu, Nurul Shuhada memfailkan perceraian terhadap Hafidz di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 27 Februari lalu.

Bagaimanapun, lafaz cerai yang sepatutnya berlaku pada 21 Mac lalu gagal dilaksanakan selepas mahkamah mendapati ada isu baharu berhubung isu lafaz cerai pasangan terbabit.

Berikutan itu, Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin menetapkan 9 Mei lalu, selepas peguam syarie, Datuk Akberdin yang mewakili Hafidz memohon satu tarikh lain bagi menjawab tuntutan balas berhubung isu lafaz cerai terbabit.

Sebelum itu, adik Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, memaklumkan Hafidz bercerai talak satu terhadap kakaknya pada 22 Februari lalu menerusi panggilan telefon.

Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.

Disiarkan pada: July 27, 2023 @ 12:05pm
d