rap

Tak mahu boros, Anna Jobling lantik akauntan peribadi

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Tidak mahu boros dan mahu memiliki jaminan kewangan kukuh untuk jangka masa panjang, pelakon popular, Anna Jobling, 23, melantik seorang akauntan peribadi. 

Anna ketika ditemui berkata, ia bagi menguruskan kewangannya dengan lebih sistematik dan menasihatinya dalam perkara berkaitan perbelanjaan.

"Mungkin usia 23 tahun masih terlalu muda. Namun, saya enggan membazir masa. Saya nak kerja berterusan.

"Saya pentingkan simpanan dan nak perbanyakkan tabungan. Saya jaga (baik) duit dan tak sewenangnya boros berbelanja. Penting untuk adanya penasihat kewangan," katanya ketika ditemui pada sambutan hari jadinya di sebuah hotel terkemuka, di sini, malam tadi

Selepas membeli kereta, pelakon drama Melur Untuk Firdaus ini juga berhasrat untuk membeli rumah selepas ini.

"Saya beli juga satu dua beg mewah tapi bukan terlalu gila barangan begitu. Sekarang saya tengah menabung untuk membeli rumah. Itu keutamaan saya sekarang.

"Satu-persatulah. Tapi, saya pun sudah ada pergi tengok-tengoklah (rumah). Saya nak fokus satu-satu, kalau nak, saya akan usaha dapatkannya," katanya.

Dalam pada itu, Anna tidak menolak perniagaan juga antara perancangan seterusnya dalam mengukuhkan lagi jaminan kewangannya.

"Saya terfikir untuk mulakan perniagaan dalam tempoh masa terdekat. Tapi saya nak fokus lakonan dulu sebab sudah tiga bulan tak masuk set (penggambaran)," katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2023 @ 11:59am
d