rap

'Satu keluarga tonton Upin dan Ipin di Indonesia' - Burhanuddin

Oleh Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Siri animasi Upin dan Ipin bukan sahaja popular di Malaysia, malah, memiliki pengaruh yang sangat besar di negara seberang, hingga hari ini.

Menurut pengasas syarikat Les' Copaque Production yang menerbitkan siri animasi itu, Burhanuddin Md Radzi berkata, siri Upin dan Ipin bukan sahaja ditonton golongan kanak-kanak sekali gus seluruh ahli keluarga di Indonesia.

"Orang Indonesia melihat siri Upin dan Ipin dari sudut yang berbeza di sana.

"Kalau di sini, hanya kanak-kanak yang menonton siri animasi ini tetapi di Indonesia, satu keluarga yang menontonnya.

"Jika berkunjung ke Indonesia, anda boleh bertanya kepada orang tua di sana, mereka boleh cerita setiap episod siri Upin dan Ipin. Begitulah penghayatan orang Indonesia pada siri animasi ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Burhanuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Gabenor Bali, Wayan Koster yang menggesa pelajar di Bali menonton filem dan kartun tempatan berbanding rancangan Malaysia, Upin Ipin.

Mengenai siri animasi Upin dan Ipin, kata Burhanuddin, pihaknya sentiasa mengeluarkan kandungan yang memberi pengajaran pada anak-anak.

"Siri animasi Upin dan Ipin tidak kosong sebaliknya setiap cerita ada elemen moral yang diselitkan.

"Ia bukan sekadar kartun, ia membentuk minda anak-anak supaya berkelakuan baik, bertanggung-jawab dan sebagainya.

"Pada masa sama, kita juga menjaga sensitiviti peminat siri animasi Upin dan Ipin di Indonesia," katanya.

Mengulas tayangan di Indonesia, kata Burhanuddin lagi, siri animasi Upin dan Ipin mempunyai pengaruh yang kuat kerana ia ditayangkan di kaca televisyen lima jam sehari di sana.

"Siri animasi Upin dan Ipin bukan mengenai agama islam tetapi cerita dalam kehidupan seharian kita.

"Siri ini juga disiarkan dalam bahasa Melayu dan kita hanya benarkan pihak stesen TV di sana letak sari kata dalam bahasa Indonesia sahaja.

"Sebab itu, ada kumpulan tertentu terutama ahli politik di sana bimbang kerana anak-anak di Indonesia sekarang sudah bercakap dalam bahasa Melayu kerana pengaruh siri Upin dan Ipin di sana," katanya.

Terdahulu, Gabenor Bali menggesa pelajar di Bali mengutamakan filem dan kartun tempatan berbanding rancangan Malaysia, Upin Ipin, lapor media tempatan.

"Orang muda biasanya suka menonton, animasi apa yang datang dari Malaysia kan? Ya, Upin Ipin. Jangan kita tonton lagi.. Lebih baik sokong filem yang memfokuskan kepada tradisi dan budaya kita," kata Wayan.

Disiarkan pada: August 21, 2023 @ 3:36pm
d