rap

Kamus cinta Ubai, Shila

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

BAGAIKAN cerita dongeng yang menjadi kenyataan. Itu yang boleh diperkatakan mengenai hubungan cinta penyanyi, Shila Amzah, 33, yang akhirnya menjadi milik pempengaruh media sosial, Ubai, 25.

Pasangan yang mula rapat sejak tahun lalu dan seterusnya bertunang pada 27 Mei lalu itu sah bergelar suami isteri pada majlis akad nikah apabila dinikahkan bapa Shila, Datuk ND Lala di Boathouse, Ampang, pada 5 Ogos lalu.

Ubai atau nama sebenarnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli tanpa berselindung berkata, single popular isterinya, Patah Seribu pada 2011 membuka hatinya untuk mengenali penyanyi bernama sebenar Nurshahila Amir Amzah ini.

"Saya memang minat dia. Waktu itu saya tingkatan satu dah letak DP (Display Picture) Shila. Apabila Shila kahwin tiba-tiba, saya macam terkejut juga. Tak ada angin, tak ada cerita tiba-tiba kahwin.

"Dulu duit belanja sekolah RM3 merangkumi tambang bas dan makan. Dari situ saya simpan duit beli album Shila. Dah beli mak marah kerana setiap hari pasang.

"Saya juga suka lagunya bersama Jaclyn Victor dan Ning Baizura. Antara tiga itu, saya hanya nampak potensi saya boleh mendapatkan Shila. Jadi, dari situ saya minat padanya dan mula mengorak langkah bekerja sebagai media bagi memenuhi impian untuk berjumpa Shila," katanya.

Sebagai strategi, Ubai menyertai program realiti Astro membabitkan Shila.

"Saya juga cuba mendekatinya menerusi TikTok, kemudian ada program All Together Now Malaysia dan saya cuba sertai.

"Usaha ini membuahkan hasil apabila ia menjadi pembuka jalan perkenalan perhubungan kami dan seterusnya makin akrab," katanya.

Ubai bersyukur dari situ bermula perkenalan mereka. Tambahan pula Shila juga dalam tempoh memulihkan diri dan dia menjadi pengubatnya.

"Itu perjalanan yang Allah sudah atur untuk saya dan Shila. Alhamdulillah cantik. Saya tidak pernah menyangka dari hubungan sebagai peminat dan penyanyi, kami kini bergelar suami isteri," katanya.

Shila pula menjelaskan, Ubai adalah peminatnya sejak 2014, tetapi pembabitannya hanya dari jauh.

"Sebenarnya kalau arwah emak (mentua) ada, dia mahu bercerita pada semua menerusi ucapannya, tapi tidak berkesempatan. Dulu masa 2011, Ubai adalah peminat Shila.

"Lepas itu dia beli album saya di Amcorp Mall dan arwah emak katakan dia seakan-akan mahu pengsan mendengar lagu saya di sepanjang jalan dari Kuala Lumpur ke Kelantan.

"Album itu saja yang dipasang sepanjang perjalanan," katanya membuka cerita pengalaman dengan mentuanya, Rohani Jamal, 52, yang meninggal dunia pada 30 Julai lalu.

Menjawab persoalan mengenai anak, pasangan ini mengakui tiada perancangan spesifik dan menyerahkan kepada ketentuan Allah.

"Kami melihat kepada rezeki. Kalau ada, adalah. Kami mempunyai pemikiran selari dalam perkara ini. Anak saya (Seth Uwais, 4,) belum faham apa-apa lagi. Dia memang selalu dengan Ubai. Kadang-kadang dia panggil papa dan kadang-kadang daddy. Ia bergantung kepada 'mood' dia," katanya.

Shila mengakui dirinya akan kembali berkelana ke China bagi memenuhi tawaran dalam nyanyian dan bersyukur Ubai menyokong dan memahami minatnya sama seperti dia menyokong kerjaya seni suaminya.

"Saya mahu dia berkembang sebab melihat pada faktor umur, saya sudah ke hadapan, jadi saya tak pernah kata padanya dia kena ikut saya dan sebagainya.

"Saya tak mahu pentingkan diri sendiri dan mahu dia bebas cari apa yang dia mahu dalam kerjayanya. Saya mahu dia berjaya," katanya.

Mengulas mengenai kesederhanaan majlisnya, Shila berkata, dia selesa mengadakan majlis yang ringkas dan tidak padat dengan tetamu supaya dapat beramah mesra dengan setiap yang hadir.

"Kami akan adakan majlis resepsi di sebelah Ubai minggu ini. Tapi, kami adakan majlis yang sederhana pun sebab kami baharu saja kehilangan emak dan apa-apa kegembiraan pun disambut sederhana.

"Lagipun saya berasakan majlis perkahwinan perlu dihadiri mereka yang kita sayang dan cinta. Saya cakap pada emak dan abah, kali ini saya mahu menjemput kawan-kawan saya," katanya.

Turut hadir ke majlis pernikahan itu adalah rakan artis seperti Fara Fauzana, Zara Zya, Marsha Milan, Amylea, Jihan Muse, Jaclyn Victor dan Haziq Hussni.

Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018, namun ikatan perkahwinan tidak berpanjangan apabila bercerai pada Februari tahun lalu.

Disiarkan pada: August 11, 2023 @ 6:47am
d