rap

Hairul Azreen ditolak pelakon popular sebab nak bergambar

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: Ditolak seorang pelakon lelaki popular ketika mahu bergambar satu ketika dulu antara paling diingati pelakon popular, Hairul Azreen.

Hairul berkata, insiden itu berlaku sebelum dia bergelar pelakon dan dia amat meminati pelakon terbabit. Namun, Hairul enggan mendedahkan siapa pelakon itu.

Katanya, kejadian itu turut membuatkan hatinya hancur kerana pelakon itu adalah idolanya.

"Ada satu kejadian yang saya ingat sampai hari ini. Ada satu artis ini, masa itu saya pakai 'handphone' 6600. Saya cakap 'bang nak ambil gambar'.

"Dia panggil, duduk sebelah dia. Lepas itu, tahu tak 'handphone' itu kalau ambil gambar kena tunggu tiga saat baru dia klik.

"Orang yang ambil gambar ini pun boleh tahan juga. Dia ambil, dia tekan, dia letak tepi. Jadi gambar itu macam kabur dan 'blur'," katanya.

Hairul berkata, dia kemudian meminta untuk bergambar sekali lagi, namun dia terkejut kerana pelakon lelaki itu tidak mahu dan menolak tubuhnya ke tepi.

"Dia tolak saya, dan hati saya yang minat dia macam 'kau la idolah aku' hancur. Perasaan saya masa itu, 'kalau aku jadi artis, siapa nak ambil gambar dengan aku, aku takkan tolak sebab kau'," katanya.

Menurut Hairul, selepas dia popular sebagai pelakon, pelakon terbabit pernah cuba berbaik-baik dengannya.

Sementara itu, bapa kepada dua anak ini turut berkongsi pengalamannya bekerja sebagai jurujual jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menjadi pelakon.

Hairul berkata, dia sering terserempak dengan artis popular seperti Apek Senario dan Datuk Afdlin Shauki dikelilingi peminat dan sejak itu dia mula berazam mahu menjadi selebriti.

Disiarkan pada: September 4, 2023 @ 2:35pm
d