rap

Areel tiba-tiba digugurkan produksi Mat Kilau, tak benarkan karya ditayang

Oleh Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Pengarah filem Walid yang juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai pengarah filem sekuel Mat Kilau, Areel Abu Bakar masih menantikan berita atau penjelasan daripada pihak Studio Kembara Sdn Bhd selepas namanya digugurkan daripada produksi pada April lalu. 

Areel, 37, ketika ditemui berkata, sekiranya pihak produksi itu masih ingin menggunakan bahagian yang terkandung hasil kerjanya iaitu sebanyak 90 peratus, mereka perlu memberikan jawapan kepadanya. 

"Kalau mereka masih nak gunakan karya saya, mereka kena berjawab dengan saya atau saya akan lakukan sesuatu. Kalau tidak, jangan guna terus dan kalau pandai, buat semuanya semula. 

"Karya ini bukanlah satu perkara yang orang sesuka hati boleh cuit sana dan sini. Kemudian, kalau busuk nanti, nama kita juga akan tercalar," katanya. 

Areel juga menegaskan bahawa, sekiranya tidak ada perbincangan, pihak produksi perlu memadam semua hasil kerjanya dan jalani penggambaran semula. 

"Ketika perkara itu berlaku, saya sudah maklumkan kepada mereka bahawa saya tak filem saya ada nama orang lain (pengarah). Kalau mereka 'gentle', buang semua bahagian yang saya sudah buat, dan buat semula. Saya orang yang mudah. 

"Tapi, mereka diam sampai sekarang dan saya tak dapat sebarang surat lagi. Bila saya tanya sebab dan alasan, mereka tak boleh beri jawapan pun," katanya. 

Menyentuh mengenai khabar angin yang mengatakan bahawa pengarahannya untuk filem sekuel itu menelan perbelanjaan lebih daripada sepatutnya, Areel berkata, perkara berkaitan kewangan diuruskan oleh produksi itu sendiri. 

"Mengenai dakwaan melebihi perbelanjaan (overbudget), itu adalah perkara pertama pihak mereka beritahu saya. Namun, saya jelaskan kepada mereka, bukan saya yang pegang duit. 

"Segala perbelanjaan diuruskan oleh pihak mereka. Bahkan, ketika kami jalani penggambaran pun, tidak ada hari tambahan atau apa. Bahkan, kalau kami berjaya selesaikan penggambaran, kami masih lagi jimat tujuh hari daripada jumlah hari yang sudah ditetapkan. Lagi pula, kami bekerja mengikut jadual," katanya. 

Ditanya mengenai bayaran, Areel menjelaskan bahawa dia masih belum menerima bayaran penuh untuk hasil kerjanya. 

"Bakinya ada lebih kurang 40 hingga 50 peratus. Bayaran pula dibayar melalui beberapa fasa. Jadi, sepatutnya, apabila saya dah selesaikan kerja saya, mereka kena lunaskan. Kalau nak diikutkan, mereka tak boleh menolak pun sebab bukan pihak kami yang berhenti," katanya. 

Terbaharu, filem arahan Areel, Walid akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 14 September ini. 

 

Disiarkan pada: September 6, 2023 @ 9:06pm
d