rap

Sofia Dendroff ada ciri wanita idaman Andy

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Andy Teh tidak menafikan Sofia Dendroff memiliki ciri-ciri wanita idamannya.

Andy, 38, berkata, dia juga melihat pelakon dari Singapura itu sebagai gadis yang baik serta berkarakter.

"Dia memiliki ciri-ciri wanita idaman saya. Antaranya, cara kami berkomunikasi. Dia adalah orang yang boleh saya wujudkan komunikasi dengan baik," katanya kepada Harian Metro.

Andy yang hadir bersama Sofia di Malam Gala Filem Walid baru-baru ini berkata, itu adalah kali pertama mereka keluar bersama.

"Kami memang berkawan rapat sejak mula menjalani penggambaran drama Aku Hanim bersama-sama. Saya banyak bantu dia di set memandangkan saya juga menggalas tanggungjawab sebagai koreografer aksi.

"Baru-baru ini, saya bawanya ke Malam Gala Filem Walid dan itu kali pertama kami keluar bersama. Dia dari Singapura, jadi nak perkenalkan dia kepada industri hiburan di sini dan pada masa sama nak promosikan drama Aku Hanim," katanya.

Ditanya mengenai cabaran berdepan gosip sebagai artis, Andy berkata, dia menganggap itu sebagai sebahagian dari industri hiburan.

"Saya okay saja kalau berdepan dengan gosip. Bagi saya, ini mungkin sebahagian daripada rencah kehidupan dalam industri hiburan," katanya.

Selain Andy dan Sofia, Aku Hanim yang mula ditayangkan semalam di Astro Ria turut dibintangi Elisya Sandha, Jaz Khan, Syaidatul Afifah, Adli Golden Boy dan ramai lagi.

Disiarkan pada: September 7, 2023 @ 11:54am
d