rap

Menyelami kisah remaja pekak

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PRODUKSI, 42nd Pictures Sdn Bhd yang diterajui pasangan suami isteri, Yasu dan Bea Tanaka akan mengadakan tayangan khas bagi filem terbaharu bertajuk magiK.

Yasu sebagai pengarah dan penulis skrip berkata, filem mengangkat kisah remaja perempuan pekak itu ditayangkan selama dua bulan di beberapa lokasi terpilih untuk memberi peluang kepada golongan sasar menyaksikannya.

Menurutnya, filem bergenre drama, keluarga dan fantasi ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain.

"Filem ini bukan sekadar mengangkat kisah gadis pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip, tetapi turut mengajak penonton menyelami kelebihan dan keistimewaan golongan bermasalah pendengaran," katanya yang berasal dari Jepun.

Ini adalah filem kedua pasangan Tanaka ini selepas Nota yang ditayangkan di panggung pada 2015.

Mengulas konsep tayangan khas ini, Bea berkata, pihaknya mahu menampilkan kelainan untuk masyarakat luar bandar termasuk golongan bermasalah pendengaran bagi menonton filem ini.

Katanya, versi yang ditayangkan untuk tayangan khas ini ialah versi yang mempunyai 'closed caption' yang memudahkan penonton dari komuniti bermasalah pendengaran.

"Filem magiK ini memaparkan kisah orang kampung di Kampung Kuantan, Kuala Selangor dan kami mahu mendekati golongan sasaran seperti masyarakat luar bandar menerusi konsep tayangan khas ini.

"Kami amat berterima kasih kepada PORT Ipoh yang menaja tayangan di Ipoh untuk dua hari. Untuk tayangan ini kami bekerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Perak untuk membabitkan komuniti pekak. Kami juga menjemput sekolah pendidikan khas sekitar Ipoh dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak." katanya yang juga bekas guru pendidikan khas untuk golongan bermasalah pendengaran selama 15 tahun dan masih akrab dengan golongan istimewa ini.

Tayangan khas ini membabitkan beberapa lokasi antaranya Warung Adri, Kuantan pada 16 September ini diikuti Pantai Telaga Papan (23 September) dan Space08000, Sungai Petani (29 September).

Manakala Terengganu akan diadakan di tepi pantai dengan konsep Wayang Pacak selain tayangan di YMCA, Kuala Lumpur pada 1 Oktober depan sempena sambutan 'International Deaf Day'; YMCA, Georgetown, Pulau Pinang (7 Oktober); PORT, Ipoh (14 dan 15 Oktober) di mana tiga lokasi ini membabitkan penonton dari komuniti bermasalah pendengaran sebelum berakhir di Embrace Hall, Johor Bahru pada 20 Oktober depan.

Filem magiK menemui penonton di pawagam pada 30 November depan. Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai tayangan khas ini boleh layari laman web 42ndpictures dan mengikuti akaun TikTok dan Instagram (#magikthemovie), Facebook (42nd Pictures) serta Channel YouTube 42nd Pictures.

Disiarkan pada: September 11, 2023 @ 6:30am
d