rap

Angkat semangat bulan

Oleh Norhayati Nordin

JIKA diukur daripada populariti, nama pelakon, Nazeera Sardi, 36, pastinya agak 'terpelanting jauh' kerana selama dekad aktif dalam industri hiburan, dia hanya menjual bakat semata-mata.

Malah, kisah percintaan bagaikan menjauh terus daripada Nazeera selepas hubungan kasihnya dengan seorang selebriti terkandas di tengah jalan sejak sekian lama.

Bagi wanita berasal dari Negeri Sembilan ini, tiada apa yang perlu dicanang mengenai kisah peribadi kecuali karier berikutan fokusnya diutamakan kepada lakonan.

"Alhamdulillah rezeki saya dalam lakonan masih ada hingga kini dan sekarang tidak sabar muncul di pawagam dengan filem Pagari Bulan arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad pada 5 Oktober depan.

"Saya berlakon watak utama sebagai Bulan dan filem ini juga memberikan cabaran besar buat saya. Ini kerana, saya perlu fasih berdialek Kelantan dan ia memang sukar.

"Apa pun, saya yakin sudah membuat terbaik dalam filem Pagari Bulan ini yang memaparkan sejarah lama ketika Tanah Melayu dijajah Jepun. Malah, kisahnya mengangkat semangat wanita untuk bangkit daripada penindasan," katanya.

Ditanya juga sebab dia berani menerima tawaran filem itu, Nazeera berkata, dia sebenarnya pernah cuba menolak kerana berasa tidak mampu menggalas bebanan watak Bulan.

"Kalau ikutkan skrip filem ini, saya tertarik sangat selepas membacanya. Tapi, apabila tahu kena cakap dialek Kelantan dan ada babak memerlukan saya berlawan untuk pertahankan diri, terus rasa takut tak dapat membuatnya dengan baik.

"Saya sangat hormati pengarah, Raja Mukhriz dan tidak mahu filem ini bermasalah nanti ketika pembikinannya. Namun, dia sendiri hubungi saya dan kami berbincang apa yang boleh dan tak boleh saya lakukan.

"Jadi, saya akhirnya nekad terima dan berusaha gigih untuk watak Bulan ini. Alhamdulillah, saya akui berasa puas sepanjang melakonkan karakter Bulan yang sangat mencabar diri," katanya.

Nazeera berkata, dia juga seorang yang komited dengan kerja, apatah lagi bidang lakonan adalah karier amat diminatinya.

Katanya, dia juga tidak mengejar populariti sepanjang membina nama dalam lakonan dan sentiasa yakin dengan rezeki.

Filem Pagari Bulan terbitan Eleven Field Creative adalah produksi milik pelakon Sharifah Shahora. Karya ini dihasilkan dengan Dana Kenegaraan sebanyak RM2.5 juta daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Selain Nazeera, barisan pelakon filem Pagari Bulan ialah Aniq Durar, Trisha Ooi, Andy Teh, Alvin Wong, Michael Ang, Laila Nasir dan ramai lagi.

Disiarkan pada: September 15, 2023 @ 6:20am
d