rap

'Ini Sufiyan, bukan Sofyank' - Mia Sara

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: Pelakon baru, Mia Sara Shauki memohon maaf sekiranya perkongsiannya bersama teman lelaki yang dimuat naik di media sosial memberi tempias kepada pempengaruh popular, Sofyank bersama isterinya.

Mia yang juga anak kepada pelakon popular, Datuk Afdlin Shauki turut menjelaskan salah faham yang timbul gara-gara wajah dan nama kekasihnya, Sufiyan juga sama dengan pempengaruh itu.

"Saya sama sekali tidak menyangka saya akan mengulas mengenai isu ini. Lucu sebenarnya, saya sendiri tidak menyangka perkongsian yang dimuat naik menjadi viral dan tular di media sosial.

"Ceritanya begini, saya muat naik pada sebelah pagi dan meneruskan rutin harian. Kemudian, saya terkejut apabila menerima notifikasi yang banyak.

"Saya minta maaf di atas kekeliruan yang timbul. Saya juga sudah menghubungi Sofyank menerusi mesej peribadi, namun mungkin dia tidak menyedarinya.

"Bukan saya saja, malah teman lelaki saya turut memohon maaf kepada Sofyank dan isteri seandainya menyusahkan atau menyinggung mereka," katanya ketika ditemui di sidang media Siri Astro Original berjudul Riot.

Menggalas watak sebagai Feeqi, Mia mengakui plot gangguan seksual dan mesej yang cuba diangkat berunsur provokatif dalam kalangan masyarakat.

Membawa watak sebagai gadis bermasalah, Mia berharap tiada pihak yang menghakimi dirinya berdasarkan watak yang dijayakan.

"Sebelum ini dalam drama bersiri Histeria saya merokok, kali ini juga ada babak merokok. Semoga tiada yang menganggap saya pengaruh buruk kerana tuntutan watak.

"Sejak berkecimpung dalam bidang seni, saya bukan saja membawa nama sendiri namun juga perlu menjaga nama baik bapa saya," katanya.

Selain Mia, Riot turut menampilkan Rashidi Ishak, Che Puan Sarimah Ibrahim, Nelissa Nizam dan ramai lagi.

Disiarkan pada: September 21, 2023 @ 2:55pm
d