rap

Ubai nafi nak bercerai dengan Shila Amzah

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pempengaruh media sosial, Ubai Mz menafikan dia dan isterinya yang juga penyanyi popular, Shila Amzah bakal bercerai.

Ubai yang melangsungkan perkahwinan dengan Shila pada 4 Ogos lalu berkata, rumah tangga mereka berada dalam keadaan baik dan dia enggan melayan tuduhan jahat itu.

"Mula-mula Shila yang perasan hantaran itu di Facebook dan dia terus maklumkan kepada saya. Pada awalnya saya okey saja sebab perkara begini kita tak boleh nak elak. Zaman fitnah semakin berleluasa.

"Cuma disebabkan perkara ini, saya disoal orang luar yang ingin mengetahui keadaan emosi serta proses perceraian sedangkan perkara itu tidak wujud dan satu fitnah.

"Kami bahagia saja di rumah. Tiada masalah apapun, malah lebih mengenali Shila dengan lebih dekat," katanya kepada Harian Metro.

Rentetan daripada khabar angin itu, Ubai meluahkan rasa kecewa terhadap sesetengah portal blog yang melaporkan berita tidak tepat.

"Ada blogger yang sengaja sensasikan berita itu dengan menulis tajuk berita kononnya hubungan kami ada masalah dan dedahkan puncanya, sedangkan hubungan kami baik-baik saja.

"Apabila perkara ini berlaku, saya seboleh mungkin bersabar dan tidak ambil peduli tapi apabila keluar cerita sebegini membuatkan saya tidak boleh berdiam diri.

"Janganlah disebabkan nak tajuk yang sensasi, mereka sanggup ajak orang lain tabur fitnah dan berkata perkara yang tidak baik," katanya.

Terdahulu, terdapat seorang pengikut di Instagram Shila memaklumkan mengenai satu artikel di Facebook yang mengatakan rumah tangga Ubai dan Shila bermasalah.

Disiarkan pada: September 24, 2023 @ 2:22pm
d