rap

'Kami makin bahagia'

Oleh Najiy Jefri

SELEPAS perkahwinannya dengan penyanyi Aliff Aziz diuji beberapa kali, penyanyi dan pelakon Bella Astillah menzahirkan rasa syukur apabila suaminya itu banyak menunjukkan perubahan positif.

Mengakui perkahwinan yang dibina semakin bahagia, Bella berkata, Aliff kini dilihat sentiasa mengambil berat terhadap dia dan anak-anaknya.

"Banyak perubahan positif yang saya lihat pada Aliff. Dia sekarang banyak ambil berat, selalu tanya saya buat apa.

"Kadang-kala, dia juga akan buat panggilan video dengan saya ketika di set penggambaran. Alhamdulillah sebab dulu dia tak macam tu. Harap tak berubahlah," katanya.

Enggan meletakkan sebarang 'harapan' pada hubungan perkahwinannya, Bella berkata, sebagai isteri dia sentiasa mendoakan kesejahteraan rumah tangga mereka.

Tambah Bella, setiap manusia juga tidak terlepas berdepan ujian dan dia takut untuk mengatakan dia sudah melepasi fasa itu.

"Itu yang saya takut kalau letak sebarang harapan. Saya tak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang.

"Sekarang ya, mungkin seronok dan berbunga, tapi kita tidak tahu apa yang akan jadi nanti.

"Apa pun, saya sentiasa berdoa saya dan suami kekal selamanya, insya-Allah," katanya.

Dalam masa sama, Bella mengakui terkesan dan sedih apabila melihat ramai rakan-rakan artis mengalami masalah rumah tangga.

Kata Bella, dia pernah melalui saat sukar itu dan memahami segala keperitan yang terpaksa ditanggung.

"Bila baca berita mengenai rakan-rakan artis yang mengalami masalah rumah tangga, saya jadi sedih.

"Sebab saya tahu perasaan mereka. Tapi, dalam masa sama, saya tidak berborak dengan orang mengenai isu itu sebab saya sendiri takut.

"Perkara membabitkan jodoh ni semua rahsia Allah, saya sendiri tak tahu rumah tangga saya sampai bila?," katanya.

Dalam pada itu, Bella turut menarik perhatian apabila kerap memuat naik gambar bersama lelaki muda.

Jelas Bella, tindakannya itu bukan menjadi isu memandangkan apa dikongsikan membabitkan tuntutan kerja sebagai pelakon.

Katanya, apatah lagi semua gambar diambil ketika mereka sedang berkerja atau berada di set penggambaran.

"Gambar yang saya kongsi semuanya diambil ketika sedang bekerja... kalau ada gambar kasut sama pun ianya hanya satu kebetulan," katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2023 @ 6:13am
d