rap

'Biarlah takdir menentukan' - Yusof Haslam

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur : Datuk Yusof Haslam, 69, menyifatkan soal jodoh baru bekas menantunya, Puteri Sarah Liyana biarlah takdir yang menentukannya.

Yusof juga enggan mencampuri urusan peribadi Puteri Sarah, 38, apabila ditanya mengenai hubungan rapat pelakon itu bersama usahawan dan pelakon Indonesia, Andi Arsyil Rahman, 36, yang begitu disokong peminat.

"Saya tidak mahu komen hal ini, cuma harap Puteri Sarah menjaga batas dalam berkawan dengan mana-mana lelaki dikenalinya.

"Saya dan isteri, Datin Patimah Ismail akan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Puteri Sarah dan anak-anaknya. Soal jodoh biarlah takdir yang tentukan," katanya kepada Harian Metro.

Puteri Sarah bercerai talak satu dengan pengarah filem dan pelakon, Syamsul Yusof, 39 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu.

Baru-baru ini, tular di media sosial Puteri Sarah yang memuat naik gambar tangan di Instagram mendedahkan identiti lelaki itu adalah Andi Arsyil yang kini menjadi rakan kongsi perniagaannya untuk produk penjagaan kulit dan tudung.

Beberapa hari lalu pula, Puteri Sarah dan Andi Arsyil kelihatan amat mesra ketika muncul bersama membuat siaran langsung di TikTok yang begitu menarik perhatian netizen di media sosial.

Malah, aksi spontan Puteri Sarah yang terus menunjukkan isyarat tangan ke arah Andi Arsyil ketika ditanya segelintir netizen berkaitan 'di manakah suaminya' pada siaran langsung itu terus mengundang pelbagai spekulasi mengenai hubungan sebenar mereka.

Rata-rata netizen yang menonton siaran langsung Tik Tok berkenaan meninggalkan komen positif dengan mendoakan agar Puteri Sarah dipertemukan jodoh yang baik serta menyayanginya dan anak-anak seikhlas hati.

Disiarkan pada: September 25, 2023 @ 2:03pm
d