rap

'Saya OK je dengan Ubai' - Dalia Farhana

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi, Dalia Farhana, 25, mendedahkan sukar untuk mengelakkan namanya dikaitkan dengan pempengaruh Ubai Zulkefli yang kini bergelar suami kepada penyanyi Shila Amzah pada 5 Ogos lalu.

Dalia atau nama sebenarnya, Tengku Farhana Dalia Tengku Bahar Iskandar yang popular menerusi lagu Langit Yang Sama berkata, biarpun tersentuh dengan kata-kata ini, dia tidak mampu untuk terus menutup mulut orang yang sering mengeluarkan kata-kata begini.

Ia termasuk apabila menghasilkan karya terbaru, ia dikaitkan mengenai kisah lamanya dengan Ubai.

"Kalau ditanya penat ke tidak, ada satu masa itu penatlah juga bila asyik dikaitkan. Tetapi lepas fasa penat itu, saya jadi macam sudah tak rasa apa. Saya perasan, kalau kita cakap apa pun, jika orang lain nak terjemahkan dengan cara mereka, tetap jua mereka buat begitu.

"Setiap orang ada pandangan masing-masing. Tapi selagi saya rasa dapat berkarya dan kongsi dengan orang, sejujurnya saya okey.

"Maksudnya, okey jika orang nak cakap apa pun, saya tak rimas. Bukan tak penat, tetapi saya pun siapa nak paksa-paksa orang berhenti bercakap," katanya ditemui pada sidang media pelancaran lagu Akhir Cerita Aziz Harun dan Dalia Farhana baru-baru ini.

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan netizen yang sering mengaitkan dirinya dengan Ubai adalah golongan yang sebenarnya belum 'move on' dengan kisah lama mereka.

"Setengah orang bagi saya ada yang dah 'move on'. Namun ada juga yang masih belum. Mungkin golongan yang tak 'move on' ini sebenarnya suka drama.

"Tak mengapalah, saya tahu untuk 'move on' itu memang memerlukan masa. Buat masa sekarang apa yang boleh saya katakan, saya dengan Ubai tak ada masalah.

"Kami dah lama tak bersembang. Tetapi kalau misal kata terjumpa di mana-mana acara hiburan atau sebagainya, saya akan profesional saja," katanya.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai lagu Akhir Cerita, kata Dalia, dia teruja berpeluang berduet dengan Aziz Harun yang disifatkan sebagai seorang penyanyi yang versatil.

Katanya, bersama Aziz, Dalia juga banyak belajar bagaimana untuk menghasilkan penulisan lirik dan ia adalah satu pengalaman yang berharga buat dirinya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dalia melahirkan perasaan gembira berpeluang berduet dengan Aziz Harun yang disifatkan sebagai seorang penyanyi serba boleh.

Menerusi gandingan ini, dia juga banyak belajar bagaimana untuk menghasilkan penulisan lirik dan ia adalah satu pengalaman berharga buatnya.

Disiarkan pada: September 27, 2023 @ 12:57pm
d