rap

Hitz FM, MY FM henti operasi berpangkalan di Sabah

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Selepas 13 tahun Astro Radio berpangkalan di Sabah, stesen radio Hitz FM Sabah dan MY FM Sabah menutup operasi pejabatnya di negeri itu berkuat kuasa 30 September lalu.

Bagaimanapun Era Sabah tidak dihentikan dan masih mengekalkan penyampai sedia ada namun akan berpangkalan di Kuala Lumpur.

Bekas Ketua Kandungan dan Digital Astro Radio Sabah, Ily Lia Affiqah, berkata, saluran radio bahasa Inggeris, Hitz Sabah dan MY Sabah untuk bahasa Cina akan dikembalikan semula siarannya ke Kuala Lumpur.

"Operasi pejabat Astro Radio Sabah ditutup berkuat kuasa 30 September 2023. Tiada lagi pekerja operasi dan hanya kakitangan sepenuh masa diberikan VSS (Pemberhentian Secara Sukarela).

"Bagaimanapun, peminat masih boleh mendengarkan siaran Era Sabah seperti biasa. Cuma akan ke udara dari Bukit Jalil (ibu pejabat Astro).

"Semua penyampai akan bersiaran dari Kota Kinabalu sehingga 31 Disember ini sebelum semua operasi dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Jalil pada Januari tahun depan. 

"Siaran Hitz Sabah dan MY Sabah juga akan dikembalikan semula. Tiada lagi penyampai mahu pun kandungan tempatan untuk kedua-dua saluran ini bermula 30 September," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ily, kemungkinan tidak semua penyampai Era Sabah akan terus berkhidmat memandangkan ada di antara mereka yang tidak akan berpindah ke Kuala Lumpur tahun depan.

Katanya, keputusan menghentikan operasi pejabat Astro Radio Sabah itu dicapai pada Ogos lalu.

Menurutnya lagi, operasi pejabat Astro Radio Sarawak juga dihentikan berkuat kuasa Sabtu lalu.

Tambah Ily, sebagai individu yang pernah bersama dengan radio itu hampir 13 tahun dia akui sedih namun akur dengan keputusan terbabit.

"Sudah tiba masanya untuk saya cuba hala tuju baharu. Saya bermula sebagai penyampai Era Sabah pada usia 19 tahun, namun terpaksa meninggalkan stesen ini dengan perasaan yang bercampur baur.

"Ini adalah pekerjaan pertama saya dan boleh dikatakan saya membesar bersama Astro Radio. Banyak yang saya pelajari selain banyak membantu membuka jalan untuk saya mengembangkan karier dalam bidang hiburan di Sabah.

"Bagaimanapun, setiap pertemuan itu akan ada perpisahan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan saya di Astro Radio Sabah. Mereka semua sudah seperti keluarga bagi saya," katanya.

Untuk rekod, Ily adalah penyampai Era Sabah yang pertama bersama Beebey sejak Astro Radio melebarkan sayapnya ke negeri itu pada 1 Oktober 2010 di bawah jenama Era Sabah.

Disiarkan pada: October 3, 2023 @ 4:31pm
d