rap

Connie selamat jalani pembedahan buang nanah di buah pinggang

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur : Pelakon popular era 1980-an, Norlida Ahmad atau Connie, 64, selamat menjalani pembedahan bagi membuang nanah di sekeliling buah pinggangnya di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

Berita ini dikongsikan anak tunggalnya, Ally Marisha Afrina Abdullah, 24, kepada Harian Metro dengan memaklumkan pembedahan dijalani ibunya berjaya walaupun berdepan sedikit komplikasi.

"Alhamdulillah ummi saya dah keluar dari bilik pembedahan. Tadi ada sedikit komplikasi, tapi syukur Alhamdulillah segala urusan pembedahan itu berjaya sepenuhnya.

"Saya mohon daripada semua agar sama-sama bantu mendoakan segala urusan kami dipermudahkan oleh Allah dan ummi saya cepat pulih. Terima kasih," katanya menerusi kiriman mesej di WhatsApp, malam tadi.

Terdahulu, pelakon filem Tujuh Biang Keladi itu dimasukkan semula ke HTJ untuk rawatan lanjut akibat masalah buah pinggang bernanah dihidapinya pada 19 September lalu iaitu selepas 10 hari dibenarkan pulang ke rumah pada 10 September.

Difahamkan, nanah pada buah pinggang Connie semakin membesar sehingga 12 sentimeter ketika di rumah dan memerlukan dia dimasukkan untuk rawatan segera di hospital.

Ally berkata, ibunya yang pernah menjalani prosedur membuang nanah sebelum ini tetapi hanya tiga sentimeter nanah saja kerana pembedahan itu terpaksa dihentikan berikutan berlaku komplikasi.

"Prosedur pembedahan membuang nanah pada buah pinggang ini agak bahaya juga dan doktor perlu lebih berhati-hati melakukannya. Tapi, syukurlah pembedahan kedua ummi kali ini berjaya," katanya.

Pada Ogos lalu, Connie dimasukkan ke HTJ kerana masalah buah pinggang bernanah dan jangkitan kuman pada paru-paru serta darah yang dialaminya.

Dia turut menjalani prosedur dikenali sebagai Peripherally Inserted Central Catheter (PICC) di mana saluran dipasang ke urat jantung bagi memudahkan antibiotik dan ubat dimasukkan untuk penggunaan jangka masa panjang.

Connie sebelum ini juga dilaporkan pernah mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya kerana tekanan darah rendah dan jangkitan kuman pada buah pinggang hingga lumpuh separuh badan pada 2018 lalu.

Cukup popular dan aktif dalam karier lakonannya pada era 1980-an, antara filem lain pernah dibintangi Connie ialah Bujang Lapok Kembali Daa, Suara Kekasih, Marah-Marah Sayang, Dendang Remaja dan Guru Badul.

Disiarkan pada: October 8, 2023 @ 11:00am
d